- Iklan -
Berita

RM11.9 bilion untuk bantu rakyat ketika Covid-19, kata menteri kewangan

Kerajaan komited bantu kurangkan beban rakyat dalam pelbagai bentuk.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat dalam bentuk bantuan lain seperti pemberian diskaun elektrik dan sewa rumah membabitkan PPR.
Kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat dalam bentuk bantuan lain seperti pemberian diskaun elektrik dan sewa rumah membabitkan PPR.

Kerajaan memperuntukkan RM11.9 bilion untuk segala bantuan berbentuk “one off” sehingga 23 Oktober lalu bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan untuk berdepan dengan pandemik Covid-19, kata Tengku Zafrul Aziz.

Menteri kewangan itu berkata, 16.3 juta rakyat sudah menerima bantuan tersebut di samping kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat dalam bentuk bantuan lain seperti pemberian diskaun elektrik dan sewa rumah membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ahli Dewan Negara itu berkata, program subsidi upah (PSU) juga dilaksanakan yang bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kadar pengganguran malah membantu majikan yang terkesan akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat dan mengelakkan pekerja daripada dibuang dan hilang sumber pendapatan.

“Setakat 23 Oktober, RM11.9 bilion PSU diluluskan untuk memanfaatkan lebih daripada 322,000 majikan serta lebih 2.6 juta orang menerima manfaat ini.

“Keseluruhannya, hampir RM18 bilion tersedia untuk PSU dan PSU 2.0. Secara keseluruhan kerajaan akan sentiasa memberi komitmen dan komited dalam membantu perniagaan dan ekonomi negara dalam mendepan cabaran Pasca Covid-19,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) berhubung perancangan kerajaan pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) wabak Covid-19 bagi membantu rakyat yang kehilangan sumber pendapatan atau yang pendapatan mereka yang semakin mengecil akibat daripada potongan gaji dan sebagainya.

Zafrul berkata, kerajaan amat prihatin untuk membantu golongan yang sangat terjejas dengan memberikan fokus bagi memastikan ianya mewujudkan kesinambungan kepada semua pihak.

“Setakat 23 Oktober, RM11.9 bilion PSU diluluskan untuk memanfaatkan lebih daripada 322,000 majikan serta lebih 2.6 juta orang menerima manfaat ini.

“Belanjawan 2021 merupakan kesinambungan daripada pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 memberikan penekanan kepada golongan kurang berkemampuan. Antaranya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Sara Hidup (BSH) ditambah baik dan diluluskan dari 4.3 juta kepada 8.1 juta rakyat.

“Dengan peruntukannya RM6.5 bilion. Langkah baru memperuntukkan RM1.5 bilion menerusi Jaringan Prihatin di mana RM180 diberi secara ‘one off’ seperti telekomunikasi, perlindungan MySalam dan bantuan kebajikan orang kurang upaya dan kanak-kanak yang juga ditingkatkan kepada RM1,000 sebulan.

“Bantuan tersebut memanfaatkan RM2.2 bilion dan 400,000 keluarga miskin sudah menerimanya. Selain itu, turut mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan baru, langkah kukuhkan kesihatan awam dan pelbagai langkah demi kesejahteraan rakyat,” katanya.