- Iklan -
Berita

Dr Mahathir mahu pencennya dipotong 10% untuk bantu mangsa Covid-19

Pemotongan itu bertujuan bagi membantu mereka yang hilang pendapatan kerana pandemik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan 10% daripada pencennya dipotong bagi membantu rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19 yang mengucar-ngacirkan perniagaan dan ekonomi seluruh dunia.

Katanya, adalah wajar baginya untuk menyumbang kerana beliau tidak terjejas dengan perintah kawalan pergerakan yang terpaksa diamalkan bagi mengekang penularan wabak itu.

“Saya sanggup dipotong sebanyak 10% dari pencen saya asalkan ia diguna untuk mengurangkan beban mereka yang sudah hilang pendapatan sama sekali,” kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan petang ini.

Beliau berkata, setiap kali beliau menjadi perdana menteri, usul pertama yang dicadangkannya ialah memotong gajinya, gaji menteri, timbalan Menteri dan juga pegawai tinggi kerajaan sebanyak 10%.

“Tidak pun ada masalah ekonomi yang besar di masa itu,” katanya.

Mahathir adalah satu-satunya ahli politik Malaysia yang pernah menjawat jawatan perdana menteri sebanyak dua kali.

Kali pertama beliau menjadi perdana menteri ialah dari 1981 hingga 2003 dan untuk kali kedua ialah dari 10 Mei 2018 hingga 1 Mac tahun ini.

Selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2018 dan membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), Mahathir mengumumkan gajinya, menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan dipotong sebanyak 10%.

Dalam kenyataannya hari ini Mahathir berkata, gaji pada hari ini sudah naik berkali ganda dari dahulu.

Mahathir adalah satu-satunya ahli politik Malaysia yang pernah menjawat jawatan perdana menteri sebanyak dua kali.

“Sementara ramai yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam kerajaan tidak mengalami apa-apa kekurangan. Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji.

“Untuk mengurang jarak antara yang bernasib baik dan yang bernasib buruk, pemotongan 10% dari mereka yang terselamat untuk memberi kepada yang tidak selamat memang wajar,” katanya.

Semalam Mahathir mencadangkan, individu yang mempunyai pendapatan tinggi di sektor awam dan swasta dipotong sebanyak 10% untuk membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.