- Iklan -
Berita

Azmin Ali dilantik pengarah pilihan raya PN

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama.

Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju sebulat suara melantik Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali sebagai pengarah pilihan raya gabungan parti itu bagi mengetuai persediaan jentera pilihan raya parti.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat semalam dalam usaha mengukuhkan kedudukan PN sebagai parti politik yang menerajui kerajaan hari ini.

Beliau berkata sayap Pemuda PN yang dipimpin oleh Khairil Nizam Khirudin juga diminta merancakkan lagi aktiviti di peringkat akar umbi agar dapat merapatkan silaturahim antara ahli parti.

“Majlis Tertinggi percaya keputusan ini bakal memantapkan lagi gerak kerja PN di semua peringkat dan menambah baik koordinasi dalam kalangan parti komponen PN,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Majlis Tertinggi PN bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Badan Perhubungan Negeri PN bagi menyelaras aktiviti parti di peringkat negeri serta memperkasakan gerak kerja parti di peringkat akar umbi secara menyeluruh.

“Dalam hal ini, Pengerusi PN akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan Negeri yang akan memanggil dan mempengerusikan semua mesyuarat Badan Perhubungan Negeri,” katanya.