- Iklan -
Berita

7 daerah alami gangguan bekalan air tidak berjadual

Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 henti beroperasi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Masalah bekalan air di Selangor dan Lembah Klang masih berulang.
Masalah bekalan air di Selangor dan Lembah Klang masih berulang.

Tujuh daerah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor tengah hari tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam satu kenyataan media berkata, kawasan yang terlibat adalah wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

“Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas selepas berlaku pencemaran baru yang dikesan berlaku di Sungai Selangor,” kata kenyataan itu.

Luas berkata, pencemaran bau yang dikesan itu seakan-akan bahan kimia pelarut.

“LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 henti beroperasi sejak pukul 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi,” katanya

Awal September lalu, sebanyak 1,292 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.