- Iklan -
Berita

Speaker Dewan Rakyat pertahankan keputusan hadkan 80 ahli Parlimen

Azhar tolak dakwaan sengaja halang semua ahli Parlimen bahas Belanjawan 2021.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Gambar: Bernama
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Gambar: Bernama

Tindakan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) yang cuba mempertikaikan tindakan yang hanya membenarkan 80 ahli Parlimen berada di dalam Dewan Rakyat setiap sesi ditentang hebat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Hassan dilihat masih tidak berpuas hati dengan ketetapan diputuskan Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat berikutan penularan wabak Covid-19 yang turut dihadiri Ketua Whip parti, menggunakan kesempatan membangkitkan isu itu sebelum perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2021 bermula.

“Dengan izin Speaker, saya ingin mengemukakan pandangan terhadap peraturan kehadiran ahli Parlimen sebelum perbahasan bermula yang memperuntukan hanya 80 orang sahaja pada waktu sidang kita membahaskan Belanjawan ini adalah bertentangan dengan peraturan dan undang-undang perlembagaan Persekutuan dan saya mohon supaya peraturan ini ditarik balik.

“Alasan yang pertama ialah melarang ahli Parlimen, ahli Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat masuk ke dalam dewan adalah bertentangan dengan Artikel 96, 97 seterusnya tentang peruntukan kewangan bahagian ketujuh Perembagaan Persekutuan.

“Sekarang adalah sidang membahaskan dan meluluskan Belanjawan ini, ia bukan sidang yang biasa-biasa, ertinya tidak boleh dilakukan keadaan persidangan Parlimen yang tidak sah. Kita tidak mahu keadaan ini diterima oleh kerajaan yang tidak sah yang meluluskan Rang undang-undang Belanjawan tidak sah. Jadi kita mesti kembali kepada peruntukan perlembagaan,” katanya.

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan tiada kenyataan di dalam Artikel 96 dan 97 yang menyatakan semua ahli perlu berada dalam dewan.

Artikel 96 tiada cukai dikenakan melainkan dibenarkan oleh undang-undang, manakala Artikel 97 menyatakan mengenai “Dana Disatukan” di bawah kuasa Kementerian Kewangan.

“Dimanakah terdapatnya di dalam Perlembagaan Persekutuan dimana setiap masa saya perlu mendengar 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sedangkan korumnya hanyalah diwajibkan 26 orang itupun dalam Peraturan Mesyuarat.

“Kita ada 80 orang, bukan saya nak kekang ahli Parlimen daripada berdebat, semua yang dipilih oleh ketua Whip parti boleh berdebat dipersilakan dan kalau tengok pun pada setiap hari persidangan bukan 222 hadir dalam dewan.

“Yang datang hanya 100 ke 120 orang itu pun bukan mereka berada dalam dewan dari pukul 10 hingga 5.30 petang. Mereka keluar masuk dan apabila kita buat persetujuan konsensus bersama 80 orang ini kenapa tiba-tiba ia diperbesarkan,” soalnya ketika membalas pertikaian Hassan di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan tiada kenyataan di dalam Artikel 96 dan 97 yang menyatakan semua ahli perlu berada dalam dewan.

Justeru itu, Azhar mengharapkan agar Ahli Parlimen tidak kira kerajaan dan pembangkang menyokong keputusan ini yang telah mendapat persetujuan sebelum ini.

“Marilah bersama-sama kita membalas budi dan jasa baik ‘frontliner’ dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang bertungkus lumus selama 7 bulan, siang dan malam demi mengawal penyebaran pandemik ini.

“Kita patut beri keyakinan pada beliau dan petugas barisan hadapan dan berilah kerjasama sepatutnya. Jadi, cukuplah dan marilah kita berbahas mengenai belanjawan ini,” katanya.

Terdahulu, ia turut mendapat tentangan hebat daripada Shahidan Kassim (BN-Arau) yang berkata tindakan tersebut seharusnya tidak boleh dipertikai kerana telah mendapat persetujuan daripada Ketua Whip setiap parti.

“Jangan buang masa, wakil Whip kena maklum, Anthony Loke kena terang ini. Kalau tak percaya dengan Whip, kita buang sahaja ketua Whip dan ganti dengan Ketua-Ketua Parti. Bagaimana boleh setuju ia boleh dipertikai kerana ini bukan diputuskan kita tetapi diputuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

“Kalau nak lawan tak mengapa, kita isytihar hari ini kita undi menentang KKM. Ini soal penyakit yang melibatkan semua orang. Kalau pertikai boleh tetapi saya tetap sokong ahli Parlimen supaya had ini diadakan sebagai SOP untuk hadir ke Parlimen.”