- Iklan -
Berita

Amaran pakar mengenai pengeluaran KWSP, ‘manis sekejap, pahit berpanjangan’

Pencarum terutama daripada golongan berpendapatan rendah berkemungkinan hadapi masalah untuk ganti semula wang KWSP yang dikeluarkan.

Amanda Suriya
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan melalui bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur.
Seorang wanita berjalan melalui bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur.

Beberapa pakar memberi peringatan mengenai tindakan kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan berkata pencarum daripada golongan berpendapatan rendah berkemungkinan besar menghadapi kesukaran menggantikan semula wang dikeluarkan bagi meringankan beban ketika pandemik Covid-19.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentang pada Jumaat lalu, pencarum dibenarkan membuat pengeluaran wang sehingga RM6,000 daripada akaun 1 selama setahun bermula Januari 2021.

Seorang penyelidik kumpulan pemikir The Center berkata pengeluaran dana itu mempunyai sumber mencukupi bagi menyokong langkah itu, tetapi persoalan timbul jika simpanan yang sepatutnya untuk kegunaan persaraan digunakan sebagai tunai kecemasan, walaupun dalam keadaan luar jangka.

Mengambil contoh sekiranya seorang pencarum itu berpendapatan RM3,000 sebulan, katanya pemohon itu memerlukan sekurang-kurangnya 15 bulan untuk menggantikan semula wang itu jika pengeluaran maksimum RM6,000 dilakukan.

Keadaan itu seterusnya bergantung kepada pekerjaan baru pencarum dan katanya dalam keadaan mencabar sekarang ini, ia mungkin sukar.

“Oleh kerana duluan sudah ditetapkan sekarang, adakah pengeluaran sama pada masa depan akan dibenarkan juga?” tambahnya.

“Bagaimana ia akan mempengaruhi polisi umur persaraan pada masa akan datang? Ini adalah antara perkara yang membimbangkan kami mengenai polisi ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Idea mengenai pengeluaran daripada akaun 1 KWSP dibuat bekas perdana menteri Najib Razak, yang mencadangkan kerajaan membenarkan pengeluaran “one off” sebanyak RM10,000 sebagai membantu meringankan kesan pandemik yang menjejaskan perniagaan dan ekonomi seluruh dunia.

Sebelum ini, kerajaan sudah membenarkan pencarum yang layak untuk membuat pengeluaran daripada akaun 2 mereka sebanyak RM500 maksimum setiap bulan selama 12 bulan melalui program i-Lestari.

Seorang ahli akademik Izlin Ismail turut memberi amaran mengenai kesan jangka panjang membenarkan pengeluaran KWSP pada masa sekarang.

“Mengeluarkan simpanan hari tua akan memberi kesan kepada masa depan anda, tidak seperti langkah jangka pendek bantuan tunai dan rebet,” katanya kepada MalaysiaNow.

Izlin, seorang pensyarah kewangan dan perbankan di Universiti Malaya, berkata adalah sesuatu yang difahami jika pencarum memikirkan kesan langsung pandemik dalam kehidupan harian dan bukan melihat jauh ke hadapan mengenai persaraan nanti.

Tetapi beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pencarum daripada golongan berpendapatan rendah.

“RM6,000 mungkin jumlah yang kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, tetapi jika anda tergolong dalam golongan berpendapatan rendah, ia adalah satu kerugian besar untuk simpanan persaraan anda.”

Izlin mengambil maklum mengenai satu laporan terbaru, lebih daripada separuh pencarum KWSP berusia dalam lingkungan 50-an memiliki simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun mereka.

“Perlu diingat mereka yang berusia 50 tahun mungkin tidak mempunyai masa mencukupi untuk melakukan pembayaran balik RM6,000 yang dikeluarkan daripada akaun 1 mereka, dan mungkin tidak akan menyimpan kembali kerana kumpulan ini lebih cenderung melangsaikan komitmen kewangan lain seperti pinjaman perumahan.”

Malah katanya bagi pencarum muda dalam lingkungan umur 20-an dan 30-an juga masih terdapat risiko.

Beliau turut menyentuh mengenai satu lagi pengumuman belanjawan yang membenarkan pengurangan kadar caruman minimum KWSP pekerja daripada 11% kepada 9% untuk tempoh setahun bermula Januari depan.

Walaupun langkah itu disambut baik sebagai salah satu cara menggalakkan perbelanjaan, sama seperti pemberian bantuan tunai, rebet dan moratorium, Izlin berkata ada beberapa pekerjaaan terutama mereka yang dalam ekonomi gig mungkin menghadapi kesukaran menambah simpanan persaraan walaupun selepas pandemik berakhir.