- Iklan -
Berita

RM28 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif sektor bersasar dalam Belanjawan 2021

Walaupun peruntukan besar dibelanjakan, kerajaan mengambil kira keperluan semasa golongan memerlukan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Kerajaan memperuntukkan RM28 bilion bagi tujuan subsidi, bantuan dan insentif kepada semua sektor bersasar dalam Belanjawan 2021 berbanding RM27.5 bilion pada tahun lalu menyaksikan peningkatan sebanyak RM400 juta, kata Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan menteri kewangan itu sebentar tadi juga menyaksikan subsidi atau insentif yang disediakan adalah 8.4% daripada keseluruhan Perbelanjaan Operasi (OE).

Walaupun mengakui tidak mampu untuk meneruskan bantuan sebesar ini, belanjawan pertama dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak mengambil alih Putrajaya awal tahun ini mengambil kira keperluan meningkatkan kebajikan bagi mereka yang terjejas terutamanya melalui bantuan Jabatan Kebajikan yang akan memanfaatkan hampir 0.5 juta penerima serta Bantuan Sara Hidup (BSH).

Antara sektor yang menerima peningkatan subsidi, bantuan dan insentif dalam Belanjawan 2021 ialah pertanian sawit (RM24 juta) dan nelayan (RM25 juta).

Manakala subsidi dan bantuan bagi sektor pengangkutan (RM122 juta), bantuan komuniti dan keagamaan (RM87 juta), bantuan sara hidup dan kebajikan masyarakat (RM1.24 bilion), bantuan sektor kesihatan (RM34 juta), bantuan pendidikan (RM319 juta) serta pemberian elaun dan lain-lain bantuan (RM101 juta).

Bagaimanapun terdapat lima sektor yang dikurangkan peruntukannya iaitu subsidi, bantuan dan insentif getah (RM15 juta), subsidi dan insentif kepenggunaan (RM1.185 bilion), bantuan sektor keselamatan (RM64 juta), biasiswa dan pinjaman pelajaran (RM217 juta), bantuan faedah pinjaman (RM84 juta).

Antara sektor yang menerima peningkatan subsidi, bantuan dan insentif dalam Belanjawan 2021 ialah pertanian sawit (RM24 juta) dan nelayan (RM25 juta).

Bagi sektor padi peruntukannya kekal sama seperti Belanjawan 2020 iaitu sebanyak RM1.55 bilion.

Selain itu Belanjawan 2021 menyaksikan elaun sara hidup nelayan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan yang akan memanfaatkan lebih 52,000 nelayan.

Antara inisiatif penting Belanjawan 2021 adalah kajian semula pemberian subsidi, bantuan dan insentif ini agar lebih bersasar, tidak bertindih dan menjurus kepada produktiviti.

Satu Jawatankuasa Khas Kabinet Pembasmian Kemiskinan ditubuhkan dan akan memainkan peranan penting bagi mewujudkan satu jaringan keselamatan sosial yang lebih efektif dan berkesan.