- Iklan -
Berita

Pelepasan cukai rakyat diperluaskan dalam Belanjawan 2021

Semua pelepasan cukai dinaikkan bagi memenuhi semua keperluan sehingga RM3,000.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Sebagai usaha menggalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi mencegah penularan penyakit, kerajaan bersetuju meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta Covid-19, kata Tengku Zafrul Aziz.

Semasa membentangkan Belanjawan 2021, menteri kewangan berkata pelepasan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi setiap individu, pasangan dan anak-anak terhad kepada RM1,000.

Katanya, kerajaan juga akan menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada RM6,000 kepada RM8,000 dan had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000.

Beliau berkata, sebagai tambahan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan sumbangan tahunan tidak melebihi RM100,000 untuk tempoh lima tahun lagi sehingga tahun taksiran 2025.

“Sukacita kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif utama bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis wabak ini.

“Inisiatif pertama; penurunan kadar cukai pendapatan. Kerajaan bersetuju kadar cukai pendapatan untuk individu pemastautin diturunkan sebanyak 1 mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, bagi membantu mereka yang hilang pekerjaan akibat keadaan ekonomi yang terjejas susulan Covid-19, bagi tempoh 2 tahun taksiran, had pengecualian cukai pendapatan bagi bayaran pampasan atas kehilangan pekerjaan akan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000 setiap tahun genap perkhidmatan.

“Sukacita kerajaan mengumumkan beberapa inisiatif utama bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis wabak ini.

Selain itu katanya, dalam menggalakkan simpanan hari tua, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas caruman Skim Persaraan Swasta atau PRS dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025.

“Selain itu, had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000 iaitu tambahan RM500 yang dikhususkan bagi perbelanjaan berkaitan sukan termasuk bayaran penyertaan pertandingan sukan. Skop pelepasan ini juga diluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik.”

Tambah Zafrul, sebagai usaha menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak mereka, pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kekal dan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.