- Iklan -
Berita

Kementerian Kesihatan penerima terbesar dalam Belanjawan 2021

Ini selaras dengan keadaan semasa ketika negara berperang melawan Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Kementerian Kesihatan diberikan peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2021 sebanyak RM31.94 bilion yang menyaksikan peningkatan RM1.32 bilion berbanding sebelum ini, selaras dengan cabaran utama masa kini untuk memerangi pandemik Covid-19.

Sementara Kementerian Pengangkutan turut menerima peruntukan besar sebanyak RM6.05 bilion, pertambahan RM2.43 biliion berbanding sebelum ini bagi melaksanakan projek-projek seperti Projek Rel Gemas-Johor Bahru, RTS ke Singapura dan projek Klang Valley Double Track fasa dua.

Manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar dipertingkatkan peruntukannya kepada RM10.2 bilion bagi membangunkan infrastruktur luar bandar seperti jalan perhubungan desa terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak.

Belanjawan 2021 juga menyaksikan peruntukan tambahan disediakan bagi menangani impak Covid-19 di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Bagaimanapun Belanjawan 2021 juga tidak dapat memenuhi semua keperluan dengan mengambil contoh keperluan vaksin Covid-19 belum dimuktamadkan dan tidak dimasukkan dalam peruntukan walaupun sebelum ini kerajaan terlibat dalam Covax yang melibatkan komitmen sebanyak RM580 juta.

Pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menganggarkan kerajaan perlu membelanjakan sebanyak RM3 bilion bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses bagi vaksin Covid-19 secara percuma.

Sehubungan itu Kementerian Kewangan mungkin perlu menyelaras semula peruntukan mengikut keutamaan bagi membiayai keperluan vaksin apabila ditemui kelak.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia pula diperuntukkan RM2.3 bilion lebih RM500 juta daripada untuk projek sambungan gentian optik Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk sekolah dan taman perindustrian bagi memperluaskan jaringan fiber internet berkelajuan tinggi.

Dalam pada itu terdapat lapan kementerian menerima peruntukan lebih rendah daripada sebelum ini dengan mengambil kira faktor tiada keperluan mendesak seperti Kementerian Perpaduan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Dalam Negeri.