- Iklan -
Berita

Istiadat penganugerahan darjah kebesaran Perak ditangguhkan

Turut ditangguhkan ialah acara-acara rasmi utama bersempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Gambar: Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Gambar: Bernama

Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak bersempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-64 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang disambut hari ini, ditangguhkan berikutan perkembangan semasa penularan wabak Covid-19.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Mohd Zahidi Zainuddin berkata istiadat itu akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Turut ditangguhkan ialah acara-acara rasmi utama bersempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Perak seperti majlis santapan diraja dan istiadat kawalan kehormatan,” katanya pada sidang media di Ipoh, semalam.

Zahidi berkata pada tahun ini, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri Perak kepada 147 penerima sahaja, jumlah yang agak terhad berbanding sebelum ini.

Katanya pengurniaan darjah kebesaran dan pingat pada tahun ini tertumpu kepada pasukan barisan hadapan yang banyak berkorban masa dan tenaga menentang serta mengekang penularan wabak Covid-19 terutamanya di negeri tersebut, selain ahli akademik yang banyak berjasa kepada Perak, negara dan antarabangsa.

“Pengurniaan ini diharapkan dapat menyuntik dan menaikkan semangat serta moral pasukan barisan hadapan secara keseluruhannya untuk terus berjuang demi memastikan keselamatan rakyat negeri Perak daripada jangkitan wabak Covid-19,” katanya.

Zahidi berkata mendahului senarai penerima ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Affendi Buang dan Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani yang menerima Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) membawa gelaran Datuk Seri Panglima, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Ahmad Suaidi Abdul Rahim menjadi penerima tunggal Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, seramai 11 individu menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah Nordin Kardi; Pakar Perunding Kanan Obstetrik, Ginekologi dan Uroginekologi, Jabatan Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr A Aruku Naidu; dan Pengarah Kesihatan Keluarga, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Dr Faridah Abu Bakar.

Turut menerima DPMP ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib; Pengurus Besar Lembaga Air Perak Ishak Abd Rahman; pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia Prof Bahari Belaton; dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa Prof Mohammad Hashim Kamali.

Penerima lain ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Azemi Abdul Aziz; Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Kementerian Luar Negeri Chuah Teoh Ban; Pakar Perunding Jabatan Surgeri Ortopedik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya Prof Dr Kwan Mun Keong dan Presiden Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia Dr D Saunthari.

Selain itu, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan kepada lima penerima iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain @ Abd Rasid; dan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid.

Turut menerima DPTS ialah Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Brig Jen Anhar Anuar; Inspektor Jeneral Markas Tentera Laut Laksamana Muda Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dan Pengarah Kesihatan, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Markas Angkatan Tentera Brig Jen Dr Nor Azam Jais.

Zahidi berkata semua penerima SPTS, DPCM, DPMP, DPTS boleh menggunakan gelaran masing-masing bermula pada hari ini (6 November) walaupun Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak ditangguhkan.

Selain itu, beliau berkata Sultan Nazrin juga berkenan menganugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada sembilan penerima, 15 menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), manakala sembilan dianugerahi Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).

Seramai 25 lagi menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 27 dianugerahi Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) diberikan kepada 38 orang penerima manakala lima lagi mendapat Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).