- Iklan -
Berita

Bantuan RM500 secara ‘one off’ untuk petugas barisan hadapan KKM

Pemberian itu adalah tambahan kepada Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada petugas barisan hadapan KKM.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Kegigihan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melawan Covid-19 menarik perhatian kerajaan apabila RM500 diperuntukkan secara “one off” yang akan memanfaatkan 100,000 orang, kata Tengku Zafrul Aziz.

Menteri kewangan berkata pemberian itu adalah tambahan kepada Elaun Khas Covid-19 sebanyak RM600 sebulan kepada petugas barisan hadapan KKM yang diberikan sejak Mac lepas dan akan diteruskan sehingga ancaman pandemik itu berjaya diatasi.

“Kerajaan menghargai pengorbanan dan keringat petugas barisan hadapan dalam mengendalikan wabak Covid-19 ini,” kata Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi menambah baik sistem sokongan untuk petugas barisan hadapan yang menghadapi kekangan mendapatkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, beliau berkata RM30 juta diperuntukkan untuk menyediakan taska di bangunan-bangunan kerajaan terutamanya hospital.

“Bagi sektor swasta pula, geran padanan sehingga RM20 juta akan disediakan untuk menggalakkan sektor swasta menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di premis mereka,” kata Zafrul.

Katanya, sebagai menghargai jasa dan bakti anggota barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, tentera, anggota bomba, Rela, petugas JKM yang berjuang demi menjamin kesejahteraan semua warga Malaysia, kerajaan turut mengumumkan kenaikan kadar elaun.

“Kerajaan menghargai pengorbanan dan keringat petugas barisan hadapan dalam mengendalikan wabak Covid-19 ini,” kata Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Menaikkan kadar elaun RM6 kepada RM8 sejam untuk lebih 1,900 Pegawai Bomba Bantuan mulai 2021.

“Memperkenalkan Skim Perlindungan Kemalangan Diri percuma sehingga RM100,000 kepada peminjam baru Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam bagi tahun 2021 dan 2022,” katanya.

Beliau berkata, bagi menghargai keringat kepahlawanan dan bakti pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian one-off RM500 kepada 40 ribu penerima.

Selain itu, kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah akan menerima imbuhan.

“Sejak dilantik sebagai menteri hampir lapan bulan yang lalu, dan datangnya saya daripada sektor korporat, mata saya terbuka kepada betapa komitednya dan teguh setianya penjawat awam dalam menjalankan amanah yang diberi.

“Tanpa mengenal penat lelah, mereka berkhidmat melangkaui ekspektasi, and ‘rose beyond the call of duty’ untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

“Sebagai menghargai jasa dan bakti anggota perkhidmatan awam, sukacita Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan 600 ringgit untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah.

“Bagi pesara Kerajaan dan veteren tidak berpencen, Bantuan Khas Kewangan 300 ringgit akan diberikan. Kedua-dua Bantuan ini akan dibayar pada awal 2021.”