- Iklan -
Berita

Usahawan Sabah dapat lanjutan moratorium 6 bulan lagi secara automatik

14,284 usahawan di Sabah mendapat manfaat lanjutan moratorium membabitkan perbelanjaan kira-kira RM482 juta.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Peniaga dan usahawan yang layak akan menikmati lanjutan moratorium 6 bulan secara automatik.
Peniaga dan usahawan yang layak akan menikmati lanjutan moratorium 6 bulan secara automatik.

Kerajaan bersetuju untuk meneruskan moratorium pinjaman selama enam bulan lagi secara automatik kepada peniaga dan usahawan yang layak di negeri Sabah membabitkan perbelanjaan kira-kira RM482 juta, kata Mas Ermieyati Samsudin.

Timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu berkata, daripada jumlah itu RM360.68 juta membabitkan pinjaman menerusi SME Bank yang melibatkan 298 peserta manakala 13,949 merupakan peserta Tekun Nasional yang membabitkan RM89 juta.

“Begitu juga Perbadanan Nasional Berhad (PNS) melibatkan 14 usahawan berjumlah RM2 juta manakala Bank Rakyat pula melibatkan 23 usahawan membabitkan jumlah RM31.6 juta.

“Bagi usahawan terjejas di bawah Tekun Nasional kita beri peluang untuk memohon semula sampai November ini untuk membuat permohonan moratorium tambahan selama tiga bulan lagi. Saya harap YB di kawasan masing-masing dapat menguar-uarkan perkara ini dalam usaha membantu mereka ketika pandemik Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Alamin (BN-Kimanis) dalam sesi soalan lisan bertanya sekiranya kerajaan ada melaksanakan penangguhan moratorium kepada usahawan khususnya kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memberitahu pelbagai strategi dilaksanakan sebagai langkah membantu dan mempertingkatkan daya saing usahawan PKS menerusi program pembiayaan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDec) yang meliputi modal permulaan dan perkembangan perniagaan untuk pembelian bahan mentah.

“Begitu juga Perbadanan Nasional Berhad (PNS) melibatkan 14 usahawan berjumlah RM2 juta manakala Bank Rakyat pula melibatkan 23 usahawan membabitkan jumlah RM31.6 juta.

“Sehingga September 2020, RM56.3 juta disalurkan Tekun Nasional bagi membantu 5,422 usahawan dalam Sabah dan melalui Pakej Rangsangan Prihatin PKS, 2,436 permohonan diluluskan dengan jumlah RM17.5 juta bagi negeri Sabah khusus membantu peniaga kecil.

“Bagi SME Bank untuk tahun 2020 diluluskan 139 usahawan dengan jumlah RM72 juta manakala Bank Rakyat luluskan seramai 2,704 usahawan dengan jumlah RM224.6 juta dan diberikan kepada 273 usahawan bernilai RM17.7 juta bagi negeri Sabah.”