- Iklan -
Berita

Tiada ceramah, perhimpunan jika PRU15 diadakan sekarang, kata menteri

Calon atau parti digalakkan untuk menggunakan media massa, sosial dan cetak bagi tujuan berkempen.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Mana-mana individu bergejala seperti mempunyai suhu badan melebihi 37.5 akan diasingkan serta-merta. Gambar: Bernama
Mana-mana individu bergejala seperti mempunyai suhu badan melebihi 37.5 akan diasingkan serta-merta. Gambar: Bernama

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin tidak membenarkan sebarang bentuk ceramah, syarahan dan perhimpunan beramai-ramai jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh pandemik Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan.

Sehubungan itu katanya, calon atau parti digalakkan untuk menggunakan media massa, media sosial dan media cetak bagi tujuan berkempen, selain, taklimat dan latihan kepada petugas pilihan raya akan dilaksanakan secara atas talian.

Beliau berkata, ini adalah antara garis panduan dan perancangan yang sedang diteliti SPR bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU15 dalam tempoh Covid-19 dalam memastikan pengendalian penjalanan pilihan raya lancar, selamat dan sempurna.

Takiyuddin berkata SPR dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merangka dan menyediakan satu Garis Panduan Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan pilihan raya sama ada PRU atau Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Antara langkah pencegahan Covid-19 yang dilaksanakan adalah pembersihan dan sanitasi di semua premis yang akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya di mana ia perlu dilakukan disinfeksi sebelum dan sebaik sahaja selepas selesai digunakan berdasarkan garis panduan KKM.

“Kawalan kehadiran di setiap premis yang digunakan bagi tujuan pilihan raya adalah pada jumlah paling minima yang mana tidak menjejaskan proses pilihan raya dan mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

“Selain itu, maklumat kehadiran setiap individu seperti nama dan nombor telefon perlu direkodkan sama menggunakan kod QR di aplikasi MySejahtera atau catatan buku secara manual,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) bertanya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adakah SPR membuat sebarang kajian atau perancangan khusus berkenaan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya PRU15 terpaksa dilakukan dalam keadaan negara masih mengalami pandemik Covid-19.

“Antara langkah pencegahan Covid-19 yang dilaksanakan adalah pembersihan dan sanitasi di semua premis yang akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya di mana ia perlu dilakukan disinfeksi sebelum dan sebaik sahaja selepas selesai digunakan berdasarkan garis panduan KKM.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, pemeriksaan suhu badan juga wajib dilakukan kepada semua individu yang hadir di premis digunakan bagi tujuan pilihan raya.

Mana-mana individu bergejala seperti mempunyai suhu badan melebihi 37.5, batuk, sakit tekak atau susah nafas tidak dibenarkan masuk ke premis dan perlu meninggalkan premis dengan segera.

“Penjarakan fizikal di premis perlu dilaksanakan di mana susun atur meja di setiap premis yang digunakan disusun dengan jarak dua meter manakala jarak antara individu adalah satu meter.

“Penggunaan hand sanitizer dan sabun tangan oleh setiap orang yang hadir ke premis sebelum dan selepas selesai urusan bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya.”

Katanya, penggunaan sarung tangan getah diwajibkan bagi semua petugas pilihan raya dan pegawai SPR yang bertugas bagi setiap proses pilihan raya.

Begitu juga dengan penggunaan pelitup muka wajib bagi semua individu yang hadir di premis-premis yang digunakan bagi tujuan pelaksanaan pilihan raya.

“Pengundi yang bergejala di mana pengundi yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C, batuk, sakit tekak atau susah nafas hendaklah diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di tempat khas (khemah khas untuk memangkah).”

Katanya, garis panduan ini akan disesuaikan selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan semasa di bawah Akta 342 yang dikuatkuasakan kerajaan seperti yang dilaksanakan dalam pilihan raya sebelumnya iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, DUN Slim dan PRN Sabah ke-16.