- Iklan -
Berita

Kehadiran ahli Parlimen dihadkan 80 orang, sidang berakhir 2 petang bermula Isnin

Parlimen perkenalkan SOP lebih ketat kekang penularan Covid-19.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Gambar: Bernama
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. Gambar: Bernama

Kebimbangan wujudnya kluster baru di Parlimen, menyebabkan keputusan dibuat untuk mengehadkan jumlah kehadiran ahli-ahli Dewan Rakyat kepada 80 orang pada satu-satu masa.

Selain itu, waktu persidangan harian Dewan Rakyat bermula Isnin  depan sehingga 15 Disember depan akan dipendekkan bermula 10 pagi hingga 2 petang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat berikutan penularan wabak Covid-19 semalam yang turut dihadiri semua ketua whip parti.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dilaksanakan.

“Perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 ditetapkan selama 8 hari iaitu pada 9, 10, 11, 12, 16, 17, 18 dan 19 November ini.

“Jawapan menteri di peringkat Dasar kekal selama 3 hari iaitu pada 23, 24 dan 25 November ini. Perbahasan di peringkat Jawatankuasa pula adalah selama 11 hari.

“Jumlah hari persidangan mesyuarat ketiga ini boleh ditambah sebanyak dua hari iaitu pada 16 dan 17 Disember jika diperlukan,” kata Azhar menerusi pemasyhuran yang dibacakan timbalannya, Rashid Hasnon di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dilaksanakan.

Berhubung kehadiran ahli Parlimen sepanjang tempoh persidangan memperuntukan blok Perikatan Nasional (PN) seramai 41 manakala 39 untuk wakil pembangkang dan Bebas.

Jumlah kesuluruhan ahli Parlimen terkini adalah 221 orang manakala kerusi Batu Sapi masih kosong selepas penyandangnya, VK Liew meninggal dunia.

“80 orang ahli Yang Berhormat yang diberikan ‘Kad Khas’ boleh merekodkan kehadiran di komputer riba masing-masing seperti kebiasaan.

“Ahli Yang Berhormat yang tidak diberi ‘Kad Khas’ pula boleh merekodkan kehadiran di blok utama dan pintu masuk blok ahli Parlimen dan pentadbiran dengan bantuan Bentara yang ditugaskan di kedua-dua pintu tersebut untuk mencatatkan kehadiran ahli Yang Berhormat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.”

Pergerakan ahli-ahli Dewan Rakyat di luar premis Parlimen juga akan dihadkan dengan mereka diminta mengelakkan menghadiri majlis-majlis keramaian dan tempat-tempat sesak.

Kaedah yang sama juga dipercayai akan diguna pakai semasa pembentangan Belanjawan 2021 esok.