- Iklan -
Berita

PN memang mahu mandat baru rakyat melalui pilihan raya

Pilihan raya umum boleh dibuat sekiranya isu berkaitan pandemik Covid-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara dapat diselesaikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perikatan Nasional memang mahu mandat baru dari rakyat melalui pilihan raya, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perikatan Nasional memang mahu mandat baru dari rakyat melalui pilihan raya, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya berharap untuk mendapat mandat baru daripada rakyat melalui pilihan raya, kata Muhyiddin Yassin.

Perdana menteri berkata pilihan raya umum boleh dibuat sekiranya isu berkaitan pandemik Covid-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara dapat diselesaikan.

“Jika dua perkara ini dapat kita selesaikan, saya memang mengharapkan kita mendapat satu mandat baru.

“Kita pergi kepada rakyat dan mohon rakyat pertimbangkan. Kalau mereka berpendapat kerajaan Perikatan Nasional ini bagus dan prihatin terhadap masalah mereka… mereka akan hargai usaha kita,” katanya pada sidang media khas secara maya bersama Bernama dan stesen-stesen televisyen tempatan.

“Bila Covid selesai, ekonomi rancak, terserahlah, kita berdoa pada Allah agar negara kita kembali pada landasan yang betul dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata kerajaan PN memang sentiasa berusaha dan mahu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat dan keadaan ekonomi yang tidak serancak diharapkan.

Bagaimanapun, ketika mengulas mengenai dakwaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini satu belanjawan pilihan raya, Muhyiddin berkata: “Bila pilihan raya. Saya sendiri tidak tahu.”

“Pilihan raya ke bukan pilihan raya, kita tetap akan bantu rakyat…bela nasib rakyat,” kata perdana menteri.

Muhyiddin berkata kerajaan PN memang sentiasa berusaha dan mahu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat dan keadaan ekonomi yang tidak serancak diharapkan.

“Baru landaikan keluk Covid, gelombang ketiga pula datang,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin pernah membayangkan untuk mengadakan pilihan raya umum selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.