- Iklan -
Berita

Penjualan tanah milik DBKL antara 3 laporan akan dibentangkan PAC

Pelantikan 12 ahli PAC akan beri keutamaan kepada kes tertangguh.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi PAC Wong Kah Woh. Gambar: Facebook
Pengerusi PAC Wong Kah Woh. Gambar: Facebook

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan tiga laporan dalam tempoh dua minggu akan datang, selepas tertangguh sejak Mac lalu akibat penularan Covid-19, kata Wong Kah Woh.

Pengerusi PAC itu berkata, laporan itu berkenaan isu Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) serta Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sejurus pelantikan 12 ahli PAC oleh Parlimen, PAC mengadakan taklimat oleh Sekretariat PAC berhubung prosedur, tadbir urus serta punca kuasa jawatankuasa dalam mengadakan mesyuarat.

“Dalam beberapa minggu akan datang, jawatankuasa ini akan memberikan keutamaan kepada kes yang tertangguh sebelum ini dan berhasrat membentangkan sekurang-kurangnya tiga laporan dalam dua minggu akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata, PAC akan mengambil langkah menyiapkan laporan yang belum dimuktamadkan antaranya, isu Kawalan Pekerja Asing dan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS).

Katanya PAC juga berhasrat memanggil semula Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Ambrin Buang.

“Mereka dipanggil semula untuk memberikan taklimat kepada ahli PAC berkenaan isu yang dicadangkan oleh PAC sebelum ini, iaitu isu Pengurusan Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (Ukas), Perumahan Generasi Baharu Felda, Pelan Pemulihan Syarikat Penerbangan MAS, Pertukaran Tanah Kementerian Pertahanan, 1BestariNet dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

“Ini membolehkan ahli PAC khasnya ahli baru mendapat penjelasan lanjut sebelum PAC membuat keputusan ke atas isu berkenaan,” katanya.

Selain itu, PAC akan mendengar taklimat ketua audit negara mengenai Laporan Audit Negara berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 apabila laporan berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Wong berkata, PAC akan mengambil langkah menyiapkan laporan yang belum dimuktamadkan antaranya, isu Kawalan Pekerja Asing dan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS).

Semalam Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan mengumumkan Ahli Jawatankuasa PAC yang baru iaitu ahli Parlimen daripada Bersatu iaitu Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang); ahli Parlimen Umno Ahmad Maslan (Pontian); Noh Omar (Tanjung Karang) dan Jalaluddin Alias (Jelebu).

Turut dilantik Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti); Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) serta Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh), Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Lumut); Wong Shu Qi (DAP-Kluang) dan Ahmad Hassan (Warisan-Papar).

Manakala lantikan pengerusi PAC dan Naib Pengerusi Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) dilakukan pada 27 Ogos lepas.