- Iklan -
Berita

Agong alu-alukan semangat bipartisan menjelang pembentangan Belanjawan 2021

Agong menggesa kerajaan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan semua pihak bagi merangka belanjawan bersifat inklusif yang menjaga kepentingan rakyat sekaligus memerangi pandemik Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Agong menerima mengadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkenaan pembentangan Belanjawan 2021. Gambar: Istana Negara
Agong menerima mengadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkenaan pembentangan Belanjawan 2021. Gambar: Istana Negara

Yang di Pertuan Agong mengalu-alukan semangat “bipartisan dan permuafakatan” yang ditunjukkan parti-parti politik dalam satu lagi kenyataan untuk mengingatkan ahli-ahli Parlimen tentang pentingnya meluluskan Belanjawan 2021.

Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menggesa agar kerajaan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan semua pihak bagi merangka belanjawan bersifat inklusif yang menjaga kepentingan rakyat sekaligus memerangi pandemik Covid-19.

Sebelum itu Agong menerima menghadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Istana Negara berkenaan penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November 2020 ini.

“Seri Paduka Baginda juga turut dimaklumkan mengenai usaha Kementerian Kewangan bagi penyediaan Belanjawan 2021 sejak bulan Julai 2020, melalui lebih 40 sesi libat urus yang melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk para wakil daripada parti-parti politik negara yang diadakan baru-baru ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Kenyataan Sultan Abdullah hari ini adalah yang ketiga dalam masa kurang daripada dua minggu tentang kepentingan mengenepikan perbezaan politik bagi memastikan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan menteri kewangan Jumaat ini dapat diluluskan.

Sebelum ini terdapat kebimbangan sebarang usaha untuk menggagalkan belanjawan akan menyebabkan pilihan raya umum terpaksa dijalankan pada musim pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, Sultan Abdullah bertitah amalan kematangan berpolitik dengan mengenepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amatlah penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak Covid-19.

“Sesungguhnya, semangat-semangat sebegini adalah selaras dengan budaya syura yang dianjurkan oleh Islam sebagaimana yang dipamerkan oleh Raja-Raja Melayu dalam sesi Perbincangan Khas di Istana Negara pada 25 Oktober, 2020 yang lalu.

“Dalam keadaan kita menghadapi situasi yang sukar dan genting ini, adalah wajar kita mendahulukan kemaslahatan masyarakat umum di atas kepentingan individu secara khusus,” kata kenyataan itu.