- Iklan -
Berita

‘Task Force’ ditubuh untuk banteras penularan Covid-19 dalam penjara

SOP baru dengan kerjasama KKM beri hasil positif apabila jumlah kes Covid-19 turun.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penjara Reman di Jalan Penjara, George Town yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Gambar: Bernama
Penjara Reman di Jalan Penjara, George Town yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, Gambar: Bernama

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Jabatan Penjara menubuhkan jawatankuasa khas (task force) Covid-19 bagi mengekang penularan wabak itu daripada meningkat dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata jawatankuasa itu juga akan bertindak dalam membuat sebarang keputusan dasar dan perundangan yang dapat menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Sehubungan itu, katanya dengan SOP baru yang dilaksanakan ia dilihat memberi respon positif apabila kes di penjara menunjukkan penurunan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

“KDN dengan Jabatan Penjara Malaysia menubuhkan task force Covid-19 di penjara bagi menilai situasi wabak ini di penjara di samping task force ini juga berperanan membuat keputusan dasar dan perundangan di samping memantau pelaksanaan tindakan.

“Kita akui bahawa ada beberapa perkara perlu ditambah baik perkhidmatan dan khidmat dalam penjara Malaysia supaya masalah seperti yang dibangkitkan oleh saudara Ebit Lew dapat ditangani,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Salim Sharif (BN- Jempol) yang mahu mengetahui langkah diambil Kerajaan terhadap kenyataan penceramah bebas, Ebit Lew keadaan penjara kini sudah terlalu sesak dan tidak mengikut norma baru.

Dalam pada itu, bagi menjawab pertanyaan asal Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Lumut) langkah-langkah reformasi kepada sistem penjara di Malaysia yang diambil kerajaan selepas penularan mendadak Covid-19 dalam kalangan banduan dan staf penjara, Jonathan berkata KDN dalam proses memuktamadkan cadangan penempatan banduan berdasarkan sabitan kesalahan.

“KDN dengan Jabatan Penjara Malaysia menubuhkan task force Covid-19 di penjara bagi menilai situasi wabak ini di penjara di samping task force ini juga berperanan membuat keputusan dasar dan perundangan di samping memantau pelaksanaan tindakan.

“Mereka ini akan ditempatkan di beberapa Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan diwartakan sebagai penjara sementara di bawah Seksyen 8 Akta Penjara 1955. KDN juga akan mewujudkan pusat-pusat transit di institusi penjara.

“Ini untuk penempatan banduan yang boleh diterima masuk dengan mengambil kira pengasingan berdasarkan tarikh-tarikh kemasukan.

“Selaras hala tuju penjara iaitu 2/3 banduan layak akan melalui pemulihan di luar penjara, langkah pemerkasaan sistem parol, perintah kehadiran wajib, program berintegrasi penghuni industri, dan pelepasan banduan secara berlesen juga akan dapat dijangka mengurangkan kesesakan dan mengekang wabak Covid-19 di dalam penjara.”