- Iklan -
Berita

Nasib pekerja Malindo Air diberhentikan diketahui selepas JTK jumpa pengurusan

2,000 kakitangan Malindo Air diberhentikan sejak 30 Oktober.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Syarikat penerbangan Malindo Air yang terpaksa berhentikan pekerja selepas terjejas akibat pandemik Covid-19. Gambar: Facebook
Syarikat penerbangan Malindo Air yang terpaksa berhentikan pekerja selepas terjejas akibat pandemik Covid-19. Gambar: Facebook

Satu mesyuarat dengan pihak pengurusan Malindo Air bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan diadakan hari ini sebagai inisiatif kementerian selepas 2,000 kakitangannya diberhentikan sejak 30 Oktober lalu.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata mesyuarat tersebut bagi membincangkan isu berkaitan pematuhan perundangan perburuhan serta langkah-langkah menjaga kebajikan pekerja yang terlibat.

“Bagi pekerja-pekerja yang ditamatkan perkhidmatan berikutan pandemik Covid-19 dan merasakan penamatan perkhidmatan tersebut tidak adil dan tanpa alasan yang munasabah, pekerja tersebut mempunyai hak untuk memfailkan representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) yang membolehkan pekerja tersebut dipulihkan ke pekerjaan asal.

“Berdasarkan laporan yang disiarkan di akhbar, satu lagi Jabatan dibawah KSM iaitu Jabatan Tenaga Kerja mengambil inisiatif untuk mengadakan satu perbincangan dengan dengan pihak pengurusan Malindo Air bersama dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada hari ini, 3 November 2020,” katanya dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) yang meminta kerajaan menjelaskan apakah jenis bantuan diberikan kepada pekerja Malindo Air yang diberhentikan serta merta dan apakah rancangan untuk memastikan “job security” untuk mereka.

Setakat 2 November 2020, JPP menerima 31 kes representasi pemulihan kerja di bawah seksyen 20 Akta 177 yang melibatkan bekas pekerja Malindo Air.

Daripada jumlah tersebut, 24 kes berjaya diselesaikan melalui rundingan damai manakala bakinya 7 kes masih lagi dalam tindakan JPP bagi proses rundingan damai.

“JPP menjangkakan dalam masa terdekat, lebih banyak kes akan diterima daripada bekas pekerja-pekerja Malindo Air memandangkan had tempoh masa 60 hari yang ditetapkan di bawah Akta 177 masih belum tamat dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di beberapa negeri masih lagi berkuat kuasa.”

Sebelum ini, Perkeso berkata bersedia membantu kakitangan syarikat penerbangan tempatan yang diberhentikan kerja melalui faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sedia ada dan bantuan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Perkeso memaklumkan mereka yang terlibat dalam pemberhentian kerja seperti Skim Pemisahan Sukarela VSS atau MSS boleh melayari laman sesawang rasmi agensi itu bagi mendapatkan maklumat terperinci kedua-dua inisiatif itu dan tatacara permohonannya.

Antara faedah SIP termasuk Elaun Mencari Pekerjaan untuk tempoh satu hingga enam bulan, selain bantuan mendapatkan pekerjaan baharu menerusi Program Penempatan Pekerjaan Semula.