- Iklan -
Berita

Bekas setpol Najib puji Anwar miliki ketokohan sebagai PM, ‘ikon kebangsaan’

Bekas setiausaha politik kepada Najib, turut memuji Anwar sebagai seorang inklusif dan progresif.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Seorang bekas pembantu kepada Najib Razak menggambarkan Anwar Ibrahim sebagai ahli politik penuh dengan sifat kepimpinan yang diperlukan dalam “demokrasi sihat”, biarpun pemimpin PKR itu gagal membentuk kerajaan melalui pembelotan ahli Parlimen.

Oh Ei Sun, bekas setiausaha politik kepada Najib, turut memuji Anwar sebagai seorang inklusif dan progresif yang dapat menyatukan antara liberal dan konservatif.

“Anwar mampu memenangi hati kedua-dua kem itu. Dia berkarisma, ikon kebangsaan,” kata Oh, dalam satu komentar diterbitkan portal saluran Channel News Asia berpusat di Singapura.

Oh berkata beliau kagum selepas mendengar ucapan Anwar yang mampu “memetik banyak kata-kata daripada pemikir liberal penting pada zaman ini”.

“Saya tidak dapat menahan diri daripada memberitahu rakan di sebelah saya mengenai dengan idea progresif seperti itu, Anwar boleh menjadi seorang perdana menteri yang baik,” kata Oh.

Oh menambah polisi Anwar akan “menyebabkan satu keharmonian kaum yang lebih hebat”.

“Anwar juga mendukung ciri-ciri progresif selama bertahun-tahun dalam kerjaya politiknya.”



Komen itu dibuatnya selepas pengakuan bekas bosnya yang meminta ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong usaha Anwar bagi menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Anwar mampu memenangi hati kedua-dua kem itu. Dia berkarisma, ikon kebangsaan,” kata Oh, dalam satu komentar diterbitkan portal saluran Channel News Asia berpusat di Singapura.

Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara bersama menulis surat kepada Yang di Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan kepada Anwar, yang sebelum itu mendakwa dirinya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional.

Anwar bagaimanapun gagal mengemukakan bukti dakwaannya semasa dipanggil ke Istana Negara mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 13 Oktober.

Oh dalam komentarnya turut berkata pertelagahan Anwar bersama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1998 disebabkan perbezaan padangan mereka mengenai pakej pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika Krisis Kewangan Asia.

Oh turut mendakwa rancangan IMF akan memungkinkan pelaksanaan “langkah-langkah ketat terhadap rasuah dan kronisme” untuk menjadikan ekonomi lebih “mesra pasaran”.