- Iklan -
Berita

PKPD di Institut Latihan KKM JB bermula 3 hingga 16 November

Sebanyak 1,515 saringan Covid-19 dilaksanakan dan daripada jumlah itu 46 individu didapati positif Covid-19.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Johor Bahru bermula esok hingga 16 November.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD di lokaliti itu bagi menyekat penularan Covid-19.

Katanya sehingga kini, sebanyak 1,515 saringan Covid-19 dilaksanakan dan daripada jumlah itu 46 individu didapati positif Covid-19.

“PKPD ini akan melibatkan 1,559 individu yang terdiri daripada pelatih ILKKM, kakitangan serta ahli keluarga dan pekerja sokongan.

“Dengan pelaksanaan ini, semua yang terlibat dikehendaki dan diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pergerakan keluar masuk ke ILKKM adalah tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata PKPD di Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kampung Matambai di Sabah yang bermula 20 Oktober sehingga hari ini dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 16 November.

“Sehingga 1 November, jumlah kes positif Covid-19 melibatkan lokaliti tersebut adalah sebanyak 1,671 kes manakala bilangan mereka yang disaring ialah seramai 3,509 orang termasuk banduan, pegawai, kakitangan dan ahli keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, MKN juga bersetuju menamatkan PKPD Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebor Baru di Labuan, Sabah mulai esok berikutan kes positif Covid-19 di kawasan itu didapati menurun dan terkawal.

Bagaimanapun, katanya kedua-dua lokaliti tersebut masih tertakluk di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Labuan yang sedang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, Ismail berkata MKN bersetuju meminda prosedur operasi standard (SOP) di beberapa lokaliti di Sabah susulan terdapat kekangan bagi penduduk di kawasan PKPD untuk mengeluarkan wang dan mendapatkan keperluan asas seperti susu, lampin pakai buang bayi, sabun pencuci, ubat-ubatan dan lain-lain yang tidak terdapat di kedai runcit di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, MKN juga bersetuju menamatkan PKPD Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebor Baru di Labuan, Sabah mulai esok berikutan kes positif Covid-19 di kawasan itu didapati menurun dan terkawal.

Katanya, antara pindaan tersebut adalah membenarkan seorang wakil dari setiap rumah dari kawasan PKPD keluar untuk mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) dan bank serta membeli barangan keperluan asas dan barang bukan makanan.

“Pasar di kawasan PKPD dibenarkan beroperasi dua kali seminggu dari 6 pagi sehingga 2 petang,” katanya sambil menambah pindaan itu tidak terpakai di kawasan Penjara dan Pusat Tahanan Sementara di Sabah.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, Ismail berkata seramai 538 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP semalam dan daripada jumlah itu, seramai 531 individu dikompaun manakala tujuh lagi direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (136), gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (80), penjarakan fizikal (82), premis beroperasi lebih masa (17), aktiviti di pusat hiburan (78) dan lain-lain (145), katanya.

Mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin selain membendung penularan wabak COVID-19, beliau berkata seramai empat warga asing dan seorang tekong ditahan, selain sebuah bot serta lapan kenderaan darat dirampas, semalam.

Katanya, sebanyak 300 sekatan jalan raya turut dilaksanakan semalam.

Beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 59,629 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 63 hotel serta 19 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,111 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 49,137 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.