- Iklan -
Berita

PM beri isyarat berdamai menjelang Belanjawan 2021

Beliau yakin persefahaman dapat dirangka dalam kalangan ahli Parlimen.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengajak semua ahli Parlimen mengenepikan perbezaan politik supaya peruntukan yang direncana kerajaan dalam Belanjawan 2021 dapat disalurkan terutama bagi memerangi pandemik Covid-19 dan membantu rakyat serta memulihkan ekonomi negara.

Muhyiddin berkata satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan ahli-ahli Parlimen bagi membolehkan bajet yang akan dibentang pada 6 November ini mendapat kelulusan baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Katanya kerajaan juga beri jaminan belanjawan itu akan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang bakal meringankan beban ditanggung semua pihak dalam menghadapi zaman yang sukar ini.

“Marilah kita dahulukan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini,” katanya dalam perutusan khas sempena situasi semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.

Muhyiddin menambah, matlamat kerajaan hanyalah satu iaitu untuk menang dalam melawan Covid-19 dan memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Jelas beliau, dalam mengurus gelombang ketiga Covid-19 pada waktu ini, kerajaan cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan kesan yang terlalu buruk ke atas ekonomi negara yang boleh memberikan impak negatif kepada kehidupan ekonomi rakyat.

“Saya tahu ramai rakyat yang sedang menderita kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat penularan Covid-19.

“Banyak perniagaan yang terpaksa ditutup. Lebih 800,00 orang telah kehilangan pekerjaan. Saya mendengar rintihan saudara dan saudari sekalian,” katanya.