- Iklan -
Berita

Bagaimana jalankan pilihan raya musim pandemik? Pegawai kerajaan kelu bila ditanya PM

Masih belum ada jalan penyelesaian tentang SOP pilihan raya Sarawak tahun depan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
ERC berkata membenarkan pemerhati antarabangsa akan meningkatkan kredibiliti pilihan raya Malaysia.
ERC berkata membenarkan pemerhati antarabangsa akan meningkatkan kredibiliti pilihan raya Malaysia.

Suasana bilik mesyuarat melibatkan pegawai peringkat tertinggi daripada pelbagai agensi yang terlibat dengan usaha memerangi pandemik Covid-19 bertukar sunyi seketika, apabila mereka diminta memberi pandangan bagaimana untuk mengadakan pilihan raya ketika musim pandemik selepas cadangan darurat ditolak.

Satu sumber yang mengetahui mengenai perbincangan membabitkan pegawai tertinggi kesihatan, perundangan, agensi keselamatan dan kawalan sempadan berkata keadaaan menjadi “sunyi” ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan soalan itu.

“Ada kemungkinan berlaku pilihan raya mengejut musim pandemik, termasuk pilihan raya negeri yang perlu diadakan di Sarawak pada tahun depan, menjadi topik utama perbincangan yang menimbulkan kebimbangan,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

Kerajaan Muhyiddin sebelum ini mengemukakan cadangan kepada Agong untuk menggunakan kuasa Perlembagaan bagi mengisytiharkan darurat, berikutan wujud ugutan daripada sekumpulan ahli Parlimen daripada blok kerajaan untuk mengagalkan pembentangan belanjawan bulan depan.

Tindakan tersebut bakal menyaksikan kerajaan tumbang dan akan berlaku pilihan raya mengejut yang merupakan perkara berulang kali diberi amaran oleh pegawai kesihatan agar tidak berlaku.

Selepas mesyuarat khas Raja-Raja Melayu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memutuskan untuk tidak mengisytiharkan darurat, dengan amaran tegas kepada ahli politik untuk tidak mengganggu kestabilan kerajaan dengan “politicking”.

Kebimbangan mengenai pilihan raya musim pandemik timbul selepas pengalaman di Sabah baru-baru ini, di mana ramai ahli politik semenanjung yang pulang positif dengan virus Covid-19 selepas berkempen selama berminggu-minggu.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat jika pilihan raya diadakan, namun sehingga kini belum ada garis panduan jelas yang boleh menyeimbangkan antara kesihatan awam dan pilihan raya adil.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini mengatakan beliau tidak menyarankan pilihan raya diadakan selagi pandemik Covid-19 belum reda, tetapi akan bekerjasama dengan SPR untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu itu.

Katanya, jika pilihan raya tetap diadakan, beliau mencadangkan perjalanan rentas negeri, perhimpunan besar-besaran atau kunjungan dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.

“Tetapi apa yang dibimbangi, syarat itu bertentangan dengan pilihan raya adil, dan boleh menyebabkan keputusan pilihan raya dicabar,” kata sumber itu.

Sumber itu menambah, mesyuarat yang dihadiri ketua pelbagai agensi turut difahamkan akan menjadi satu cabaran bagi pihak berkuasa kesihatan untuk memastikan seluruh Sarawak kekal sebagai “zon hijau” untuk mengelakkan sekatan pergerakan pengundi.

Ketika ini, hanya Kuching dianggap zon merah manakala Sibu zon Kuning.

Sumber itu mengatakan Muhyiddin bertanya apakah terdapat sebarang jaminan pengundi Sarawak dari zon merah tidak akan menyebabkan lonjakan kes ke bahagian lain di negara ini, seperti yang berlaku semasa PRN Sabah.

Beliau turut berkata, SPR dan pihak berkuasa tidak boleh melarang pengundi kembali ke kawasan pengundian mereka untuk mengundi.

“Pengundi mempunyai hak untuk mengundi, kita tak boleh halang mereka pulang. Ini sebabnya kita perlukan darurat pada masa ini.” sumber itu memetik perdana menteri sebagai berkata, keadaan dalam bilik mesyuarat menjadi sunyi.

“Jadi bagaimana kita hendak menguruskan mereka, pengundi di Sarawak yang tinggal di Sabah. Bagaimana? Saya tidak memerlukan jawapan, saya tahu anda tidak mampu berikan jawapan,” perdana menteri dipetik sebagai berkata.

“Tetapi apa yang dibimbangi, syarat itu bertentangan dengan pilihan raya adil, dan boleh menyebabkan keputusan pilihan raya dicabar,” kata sumber itu.

Seorang wakil Sarawak kemudian mencadangkan supaya mewajibkan semua pengundi dari luar menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum memasuki negeri itu.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak pegawai kanan kesihatan, yang berkata adalah mustahil secara logistik untuk melakukan ujian saringan terhadap setengah juta orang dalam tempoh masa singkat.

Sekurang-kurangnya kos sebanyak RM600 diperlukan untuk ujian saringan ke atas seorang penduduk yang masuk dan keluar.

“Makmal sedia ada tidak mencukupi untuk melakukan ujian sebanyak itu,” kata pegawai itu, sambil menambah pilihan raya Sarawak patut ditunda “supaya episod yang menimpa Sabah tidak berulang.”

“Kesian petugas barisan hadapan. Mungkin lebih susah untuk kali ini kerana faktor demografi Sarawak,” kata sumber itu merujuk kepada kawasan pedalaman di Sarawak yang tidak mudah diakses dengan kenderaan.

Sementara itu, sumber itu berkata Muhyiddin beberapa kali mengatakan beliau bimbang akan pilihan raya negeri ketika pandemik di Sarawak tahun depan, kerana ketiadaan darurat untuk menangguhkannya.

“Kalau ada darurat, ia boleh tangguhkan selama enam bulan. Tetapi kita terima dan hormati keputusan Agong,” kata sumber itu memetik perdana menteri sebagai berkata.