- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen PKR pertikaikan titah Agong secara terbuka

Hassan menegaskan ahli-ahli parlimen mestilah bebas untuk membuat keputusan di dalam sidang Parlimen termasuk Belanjawan 2021.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim. Gambar:  Facebook
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim. Gambar: Facebook

Seorang ahli Parlimen PKR hari ini secara terbuka mempersoalkan titah Yang di Pertuan Agong agar anggota Dewan Rakyat memberikan sokongan pada kepada Belanjawan 2021 ketika negara sedang berdepan dengan wabak Covid-19 yang sudah menjangkiti hampir 30,000 rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini adalah pelanggaran terhadap prinsip raja berperlembagaan dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

“Saya ingin menegaskan ahli-ahli parlimen mestilah bebas untuk membuat keputusan di dalam sidang Parlimen termasuk Belanjawan 2021 tanpa ada sebarang tekanan atau pengaruh sesiapa (undue influence),” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke dalam Facebook miliknya petang ini.

Katanya, sebagai ahli Parlimen yang dipilih rakyat, beliau amat gusar dan bimbang dengan kenyataan Istana Negara itu.

“Ahli-ahli parlimen yang mengangkat sumpah telah berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang membawa maksud menjaga kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Hari ini Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati semua ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Agong menegaskan belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, adalah amat penting kepada Kerajaan, khususnya kepada para petugas barisan hadapan.

Hari ini MalaysiaNow melaporkan seorang ahli Parlimen PKR yang merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim menggesa pembangkang tidak berputus asa menjelang pengundian belanjawan bulan hadapan, walaupun Agong menasihatkan semua penggubal undang-undang agar tidak menganggu kestabilan kerajaan dalam memerangi Covid-19.

“Pengundian belanjawan merupakan satu-satu cara pembangkang untuk menguji legitimasi kerajaan. Disebabkan itu, kita tidak boleh memberikannya secara percuma kepada perdana menteri,” tulis Ahli Parlimen Subang Wong Chen di media sosial.

Menurut Hassan, ahli-ahli parlimen sama ada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berada di Parlimen atas kelayakannya menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru itu kepercayaan wajar diberi kepada mereka untuk menimbang mana yang baik dan mana yang merosakkan negara,” katanya.

“Sebagai seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, saya amat gusar dan bimbang dengan suatu kenyataan Istana Negara bertarikh 28 Oktober 2020 yang dikeluarkan oleh Ahmad Fadil Shamsudin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang menyebut, antara lain, bahawa Yang di-Pertuan Agong menasihati ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021”.