- Iklan -
Berita

PKPB Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilanjut hingga 9 November

Ini kerana masih terdapat kawasan-kawasan yang berisiko tinggi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Polis mengadakan sekatan jalan raya di Putrajaya sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Polis mengadakan sekatan jalan raya di Putrajaya sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk membendung penularan Covid-19 yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November depan, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) itu berkata perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini selepas meneliti perkembangan semasa berikutan masih terdapat kawasan-kawasan yang berisiko tinggi jangkitan Covid-19 itu di lokasi tersebut.

“Setakat ini, penilaian risiko dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masih terdapat lokasi berisiko tinggi untuk berlakunya penularan Covid-19, maka mengambil kira penilaian risiko itu, PKPB akan dilanjutkan,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail berkata prosedur operasi standard (SOP) PKPB untuk tempoh dua minggu itu sama seperti sebelum ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bermula 14 hingga 27 Oktober.

Katanya, mesyuarat MKN juga bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Mesra dan Taman Mawar, Sandakan, Sabah bermula 28 Oktober hingga 10 November, merangkumi 5,100 unit rumah yang melibatkan seramai 22,500 penduduk.

Ismail berkata prosedur operasi standard (SOP) PKPB untuk tempoh dua minggu itu sama seperti sebelum ini.

Ismail berkata, PKPD juga akan dilaksanakan di Putra Point Nilai, Negeri Sembilan membabitkan dua lokaliti tempat tinggal pekerja (asrama) di kawasan itu yang dikesan menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 iaitu Jalan BBN 1/7B dan Jalan BBN 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.

Beliau berkata PKPD tersebut akan berkuat kuasa bermula 28 Oktober hingga 10 November.

Katanya, kerajaan turut bersetuju melaksanakan PKPB di Zon Nilai, Negeri Sembilan berkuat kuasa 28 Oktober hingga 10 November berikutan peningkatan kes positif Covid-19 warga asing di zon berkenaan.

Kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Taman Khazanah Indah dan Pangsapuri Mutiara Kasih, Lahad Datu serta Felda Umas, Kalabakan, Sabah selama 14 hari lagi bermula 27 Oktober.