- Iklan -
Berita

Naratif baru selepas PM disokong Agong, PH dalam dilema belanjawan

Naratif baru ini melibatkan serangan kepada dua pemimpin kanan kerajaan yang dipersalahkan selepas kejatuhan PH pada Februari.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet pertamanya pada 11 Mac. Bersamanya Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali (Tengah). Gambar: AP
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet pertamanya pada 11 Mac. Bersamanya Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali (Tengah). Gambar: AP

Berdepan dilema belanjawan bakal dibentangkan bulan depan, parti yang menentang Muhyiddin Yassin kini menghalakan serangan kepada dua pemimpin kanan kerajaan selepas Agong menyokong pentadbiran perdana menteri menguruskan pandemik Covid-19.

Dilema itu adalah sama ada pembangkang bakal mengundang cemuhan orang ramai dan juga pihak istana sekiranya mereka tidak menyokong Belanjawan 2021 bulan depan yang mungkin boleh membawa kepada pilihan raya mengejut pada musim pandemik.

“Dan jika mereka tidak menentang, ia akan menguatkan lagi kedudukan Muhyiddin, yang rancangannya untuk mengadakan darurat ditolak tetapi Agong menyokong penuh pentadbirannya,” kata sumber peringkat tertinggi PKR kepada MalaysiaNow.

Sumber itu, seorang wakil rakyat persekutuan kanan dari Lembah Klang berkata, para pemimpin parti diarahkan untuk menyerang menteri kanan Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, dua tokoh yang dipersalahkan ramai pemimpin Pakatan Harapan selepas gabungan itu hilang majoriti awal tahun ini.

“Naratifnya ialah untuk mendesak Muhyiddin memecat kedua-dua pemimpin ini sebagai prasyarat untuk pembangkang memberi sokongan kepadanya,” kata ahli Parlimen itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dijadualkan membentangkan belanjawan pada 6 November, tetapi terdapat kebimbangan sekumpulan ahli Parlimen Umno yang terpalit dengan tuduhan rasuah akan bergabung dengan PH untuk menggagalkan belanjawan itu daripada diluluskan.

Jika itu berlaku, pemerintahan Muhyiddin akan tumbang, menyebabkan pilihan raya tergempar perlu diadakan.

Ini menjadi kebimbangan pegawai kesihatan yang memberi amaran akan wujud kluster pilihan raya dan akan memberi kesan buruk dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Istana Negara dalam satu kenyataan semalam bagaimanapun memberi amaran kepada mereka yang berniat sedemikian.

Wong Chen mengulangi gesaan anggota Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi, yang mendakwa Muhyiddin menyalahkan Azmin dan Hamzah selepas keputusan Agong untuk tidak mengisytiharkan darurat.

Ini berlaku selepas kenyataan balas memalukan Istana Negara kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang gagal menunaikan janji memberikan butiran terperinci mengukuhkan dakwaan beliau mempunyai majoriti untuk mengambil alih Putrajaya.

Dalam kenyataan terbaru Istana Negara memaklumkan tiada keperluan mendesak untuk mengisytiharkan darurat.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga secara khusus mengingatkaan ahli-ahli Parlimen betapa pentingnya belanjawan itu.

“Peruntukan kewangan itu amat diperlukan oleh barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” kata Agong, selepas mengadakan satu perjumpaan khas bersama Majlis Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan menggunakan kuasa Perlembagaan bagi mengisytiharkan darurat bagi mengelakkan pilihan raya mengejut diadakan.

Peringatan itu dilihat sebagai satu amaran dari istana tentang sebarang usaha untuk menggagalkan rang undang-undang belanjawan akan mengganggu usaha memerangi Covid-19, yang meragut 93 nyawa pada bulan ini sahaja.

“Titah Agong itu menghentikan semua rancangan untuk menukar kerajaan,” kata ahli Parlimen sama kepada MalaysiaNow.

“Oleh itu, wujud keperluan untuk mencari jalan keluar bagaimana untuk menentang Muhyiddin tanpa dilihat sebagai ‘politicking’.”

Salah seorang pemimpin pro-Anwar yang bertanggungjawab mencetuskan “naratif” itu adalah Wong Chen, yang mendesak supaya Muhyiddin memecat Azmin dan Hamzah sambil menunjukkan rasa simpatinya kepada perdana menteri.

“Kita tahu perdana menteri tidak berada pada tahap kesihatan terbaik sejak dua menjak ini dan terdapat cakap-cakap dia dipengaruhi oleh dua orang menteri kanan tersebut.

“Oleh itu, sama ada perdana menteri meletak jawatan atau dia memecat kedua-dua menteri kanan itu disebabkan cubaan berani untuk meruntuhkan demokrasi di Malaysia,” kata ahli Parlimen Subang itu.

Wong Chen mengulangi gesaan anggota Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi, yang mendakwa Muhyiddin menyalahkan Azmin dan Hamzah selepas keputusan Agong untuk tidak mengisytiharkan darurat.

Tetapi seorang pemimpin kanan Bersatu yang menghadiri pertemuan di kediaman Muhyiddin malam tadi berkata tuduhan itu tidak berasas.

“Antara isu yang dibincangkan ialah Muhyiddin memberitahu menteri-menteri beliau sudah melakukan segala mungkin dalam rangka kuasanya untuk menghentikan kluster pilihan raya, dan beliau bimbang kemungkinan belanjawan awal bulan depan disabotaj,” katanya.