- Iklan -
Berita

BN adakan pertemuan selepas Agong tolak darurat

Barisan Nasional (BN) hari ini mengadakan pertemuan dipercayai bagi membincangkan langkah seterusnya yang harus diambil oleh parti itu susulan titah Yang di Pertuan Agong bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini. Setiausaha Agung BN Annuar Musa ketika dihubungi mengesahkan pertemuan itu yang berlangsung di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur, bermula 1 tengah […]

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendahari BN Hishammuddin Hussein menghadiri mesyuarat gabungan itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Bendahari BN Hishammuddin Hussein menghadiri mesyuarat gabungan itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Barisan Nasional (BN) hari ini mengadakan pertemuan dipercayai bagi membincangkan langkah seterusnya yang harus diambil oleh parti itu susulan titah Yang di Pertuan Agong bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa ketika dihubungi mengesahkan pertemuan itu yang berlangsung di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur, bermula 1 tengah hari tadi.

Antara yang dilihat tiba, dipercayai bagi menghadiri mesyuarat itu, ialah beberapa menteri BN iaitu Menteri Luar Hishamuddin Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan, yang sebelum itu menghadiri mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya pagi tadi.

Turut kelihatan bekas perdana menteri Najib Razak yang juga ahli Parlimen Pekan, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainal Abidin (Padang Besar), Idris Jusoh (Besut) dan Naib Presiden Umno Mohamed Khalid Nordin.

Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Wee Jeck Seng daripada MCA.

Antara yang dilihat tiba, dipercayai bagi menghadiri mesyuarat itu, ialah beberapa menteri BN iaitu Menteri Luar Hishamuddin Hussein; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan, yang sebelum itu menghadiri mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya pagi tadi.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk diisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Yang di Pertuan Agong memutuskan hal itu selepas mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi memperhalusi permohonan melaksanakan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan yang dipersembahkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menangani pandemik Covid-19.

Seri Paduka merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 ini dengan baik dan berkesan, kata Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.

Sementara itu, Hishammuddin ketika ditanya oleh pemberita berkata mesyuarat tersebut antaranya akan membincangkan tentang sokongan parti terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ditanya sama ada Muhyiddin perlu meletak jawatan, Hishammuddin berkata perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut kemudian memandangkan gabungan tersebut perlu menentukan pendiriannya terlebih dahulu.

“Kerana itulah kita berbincang hari ini, kita mahu dengar pendirian BN,” katanya.