Sunday, May 9, 2021

Agong titah tiada darurat, beri amaran kepada pihak ganggu kestabilan

Agong percaya kerajaan yang dipimpim perdana menteri mampu menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

Other News

Yang di pertuan Agong bertitah tiada keperluan untuk mengadakan darurat seperti yang dipohon oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengikut Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata keputusan itu diambil setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

“Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin sebentar tadi.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Baginda turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.”

Agong turut menegaskan Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, MalaysiaNow difahamkan Muhyiddin memanggil semua menteri besar dan ketua menteri bermesyuarat esok, yang dipercayai ada kaitan dengan darurat.

Mesyuarat bersama pemimpin negeri akan berlangsung pada pukul 9.30 pagi, diikuti dengan mesyuarat khas Kabinet dua jam kemudian.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles