- Iklan -
Berita

Selepas peringatan Agong, Mat Sabu gesa kerajaan ditukar, kemudian tarik balik

Presiden Amanah menarik kembali kenyataannya yang dilihat bercanggah dengan titah Agong agar “politicking” dihentikan bagi melawan Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Amanah Mohamad Sabu. Gambar: AFP
Presiden Amanah Mohamad Sabu. Gambar: AFP

Mohamad Sabu menggesa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada kerajaan baru ditubuhkan, bagaimanapun presiden Amanah itu manarik balik kenyataannya tidak berapa lama selepas itu.

Kenyataan itu asalnya dikeluarkan di laman Facebook rasmi Amanah, kurang sejam selepas Yang di Pertuan Agong memuji perdana menteri kerana menguruskan krisis Covid-19 dengan baik.

“Kami meminta Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan secara terhormat.

“Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai parti akan mencari jalan terbaik untuk membentuk kerajaan dan menyelamatkan Malaysia serta rakyat,” kata bekas menteri pertahanan daripada Pakatan Harapan (PH) itu dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tidak beberapa lama selepas itu, Amanah berkata presidennya menarik balik kenyataan tersebut.

“Kenyataan rasmi parti akan dikeluarkan sebentar lagi,” tambahnya.

Dalam kenyataan barunya, Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu kemudian berkata, pihaknya meyakini keputusan Agong dibuat dengan penuh hemah dan kebijaksanaan dengan mengambil Kira kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya dan kelangsungan kemakmuran negara.

“Parti Amanah menjunjung kasih titah Yang di Petuan Agong dan akan menyokong segala usaha memerangi Covid-19 dan berjanji akan bersama sepenuhnya dalam usaha ini,” tambahnya.

Kenyataan Mohamad  yang pertama dikeluarkan walaupun Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi amaran hari ini agar kerajaan tidak diganggu dalam perang melawan Covid-19.

Agong bertitah tiada keperluan untuk mengadakan darurat bagi membantu usaha kerajaan melawan Covid-19, mengatakan pentadbiran Muhyiddin sudah melakukan yang terbaik melawan pandemik itu.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara,” kata kenyataan dikeluarkan Istana Negara selepas Raja-Raja Melayu bersidang cadangan mengadakan darurat untuk mengelakkan pilihan raya umum mengejut.

Sultan Abdullah juga mengingatkan semua ahli Parlimen bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November amat penting dalam memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” kata kenyataan itu.