- Iklan -
Berita

Raja-Raja Melayu adakan perbincangan khas

Perbincangan berhubung cadangan dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri pada Jumaat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul di pintu utama Istana Negara bagi menanti keberangkatan tiba Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama.
Pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul di pintu utama Istana Negara bagi menanti keberangkatan tiba Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur. Gambar: Bernama.

Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara hari ini, bagi menghadiri perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Kuala Lumpur.

Perbincangan khas yang dijadualkan pada 2.30 petang itu, dijangka bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Kenderaan rasmi membawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memasuki pintu utama Istana Negara pada 12.20 tengah hari.

Situasi di perkarangan Pintu Utama juga tenang dan dikawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia sejak pagi tadi.

Kenderaan rasmi membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pula tiba di Istana Negara sekitar pukul 1.30 tengah hari, diikuti Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat ke Istana Negara ialah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail serta Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Sultan Abdullah.

Pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul di pintu utama Istana Negara sejak 12 tengah hari bagi menanti keberangkatan tiba Raja-Raja Melayu.

Situasi di perkarangan Pintu Utama juga tenang dan dikawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia sejak pagi tadi.

Polis turut memasang pemisah dan kon sebagai langkah keselamatan dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal petugas media.

Pada Jumaat petang, Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet menghadap Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan Pahang, susulan mesyuarat khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada sebelah pagi.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang dicapai mesyuarat khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Agong untuk pelaksanaannya.

Kenyataan itu memaklumkan Agong akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan perdana menteri.