- Iklan -
Berita

Polis kawal ketat pintu Istana Negara

Majlis Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan mesyuarat khas petang ini berkaitan syor Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilihat masuk ke Istana Negara pada pukul 12.23 tengah hari. Gambar: Bernama
Yang di Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilihat masuk ke Istana Negara pada pukul 12.23 tengah hari. Gambar: Bernama

Suasana di Pintu Utama Istana Negara tenang dan dikawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak pagi tadi.

Pengamal media tempatan dan antarabangsa telah berkumpul di sekitar kawasan ini sejak pukul 11 pagi tadi bagi mengikuti perkembangan semasa dan menanti keberangkatan tiba rombongan Raja-Raja Melayu yang dijangka menghadiri mesyuarat khas petang ini.

Polis juga memasang pemisah dan kon sebagai langkah keselamatan untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan fizikal petugas media.

Sementara itu, kenderaan rasmi yang membawa Yang di Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilihat masuk ke Istana Negara pada pukul 12.23 tengah hari.

Petang ini, Majlis Raja-Raja Melayu dijangka bermesyuarat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin susulan mesyuarat khas jemaah menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya, pagi Jumaat lepas.

Pada petang hari sama, Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet menghadap Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang dicapai dalam mesyuarat khas jemaah menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Agong untuk pelaksanaannya.

Dalam kenyataan sama, Agong dimaklumkan akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan-cadangan itu.