- Iklan -
Berita

PM ucap terima kasih di atas kepercayaan Agong

Agong percaya Muhyiddin mampu menguruskan negara walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil maklum pendapat Yang di Pertuan Agong tiada keperluan darurat diisytiharkan, mengucapkan terima kasih atas kepercayaan diberikan kepada kerajaan pimpinannya dalam menangani pandemik Covid-19.

“Saya menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka Baginda kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu gugat,” kata perdana menteri dalam satu kenyataan malam ini.

“Jemaah Menteri akan berbincang dengan lebih lanjut akan titah Seri Paduka Baginda Tuanku. Keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan pada masa ini ialah melindungi rakyat daripada wabak Covid-19.”

Petang tadi, Yang di pertuan Agong bertitah tiada keperluan untuk mengadakan darurat seperti yang dipohon Muhyiddin mengikut Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan bagi memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata keputusan itu diambil setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

“Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Baginda turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.”

Agong turut menegaskan Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sesungguhnya, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini,” tambah kenyataan itu.