- Iklan -
Berita

Murid miskin berisiko hidap masalah perkembangan otak ketika sekolah ditutup

Selain perkembangan otak, mereka juga terdedah kepada risiko lain seperti melemahkan perkembangan emosi dan kemahiran berfikir terjejas.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak menikmati makanan ringan di rumah sejak penutupan sesi persekolahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kanak-kanak menikmati makanan ringan di rumah sejak penutupan sesi persekolahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seorang pegawai kanan kementerian kesihatan mengatakan penutupan sekolah di seluruh negara ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac, dan sekali lagi awal bulan ini, boleh menyebabkan murid daripada keluarga berpendapatan rendah kehilangan nutrisi diperlukan.

Berpuluh-puluh ribu murid miskin dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berkuat kuasa bermula 14 Oktober lalu “terputus” bekalan makanan berkhasiat “satu menu sehari” melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah masing-masing.

Timbalan Pengarah Pemakanan Kementerian Kesihatan Zaiton Daud berkata, amalan pemakanan sihat yang diterapkan pada program RMT amat penting bagi memastikan kanak-kanak tidak terganggu sesi pembelajaran dalam kelas disebabkan berasa lapar.

Katanya, penutupan sesi persekolahan memaksa murid berada di rumah dan bergantung kepada sumber makanan yang terhad sedangkan pada peringkat umur itu, kanak-kanak memerlukan makanan yang penuh nutrisi dan seimbang.

“Kalau makan mi segera hari-hari pun (memang) kenyang tapi tak ada zat. Hanya dapat karbohidrat semata-mata,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ia sejenis makanan proses yang mengandungi garam tinggi dan terdapat bahan tambahan yang mungkin boleh membahayakan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang”.

Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL) Ridzoni Sulaiman berkata, kekurangan zat makanan bukan sahaja menyumbang kepada masalah perkembangan otak, tetapi berupaya menjejaskan perkembangan fizikal iaitu terbantut, melemahkan perkembangan emosi dan kemahiran berfikir.

Katanya, perkembangan fizikal juga boleh menjadikan ketahanan imuniti kanak-kanak rendah, meningkatkan risiko mengidap kanser dan kebarangkalian mati lebih awal dan perkembangan otak yang lambat disebabkan kekurangan DHA (docosahexaenoic acid) iaitu asid lemak dalam kumpulan Omega 3.

“Sumber utama Omega 3 dari makanan adalah ikan, ikan bilis, telur yang diperkayakan Omega 3, kekacang seperti soya, badam, kacang hazel, walnut, minyak zaitun, sayuran hijau misalnya bayam, brokoli, kangkung, kailan dan lain-lain. Ini semua adalah sebahagian komponen makanan sihat atau menu pinggan sihat,” katanya kepada MalaysiaNow.

“DHA membantu dalam pembentukan neuron yang lebih cekap untuk menyampaikan informasi dengan cepat dan tepat. Omega 3 akan mengawal atur perembesan dan keupayaan neurotransmitter di otak. Sebab itu bantut menyumbang kepada terencat kecerdasan otak dan tahap IQ yang lemah.”

Semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kementerian pendidikan mencadangkan pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) iaitu projek perintis RMT yang memanfaatkan kira-kira 2.7 juta murid di sekolah rendah kerajaan.

Katanya, perkembangan fizikal juga boleh menjadikan ketahanan imuniti kanak-kanak rendah, meningkatkan risiko mengidap kanser dan kebarangkalian mati lebih awal dan perkembangan otak yang lambat disebabkan kekurangan DHA (docosahexaenoic acid) iaitu asid lemak dalam kumpulan Omega 3.

Bagaimanapun, PSP tergendala selepas kementerian kewangan pada ketika itu menyatakan kerajaan tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk meneruskan pelaksanaannya yang memakan belanja RM1.7 bilion.

Kementerian pendidikan di bawah Perikatan Nasional (PN) juga tidak melaksanakan PSP tersebut tetapi program RMT sedia ada masih berjalan seperti biasa.

Pada 2017, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa Malaysia menghadapi tiga aspek kekurangan zat makanan, iaitu obesiti, terbantut dan anemia (kurang zat besi untuk hasilkan sel darah merah).

Laporan itu mendedahkan Malaysia mengatasi 40 negara lain dalam pelbagai jenis kekurangan zat dengan ketara.

Bagi pecahan negeri, Kelantan dilaporkan mempunyai peratusan tertinggi kanak-kanak terbantut yang dikatakan melepasi tahap kritikal dengan 34%, diikuti Putrajaya 25%.

Pakar ekonomi Akademi Sains Malaysia Madeline Berma berkata kanak-kanak daripada kumpulan B40 dan ke bawah sangat mudah terancam dalam tempoh pandemik Covid-19.

Menurut Madeline, bukan sahaja menyebabkan pembelajaran mereka terhenti, tetapi juga terputus interaksi antara manusia di sekolah yang sangat penting untuk pembangunan sosio-tingkahlaku.

Katanya, berada dalam kemiskinan juga menjadikan mereka “terputus” bekalan makanan yang berkhasiat di sekolah dan beralih kepada pergantungan sumber makanan daripada sumbangan orang ramai dan makanan sedia ada di rumah.

“Disebabkan oleh kemiskinan, ibu bapa putus pekerjaan dan sumber pendapatan, maka keluarga dan anak-anak berkorban dan makan makanan murah dan kurang berkhasiat.

“Penutupan sekolah menyebabkan kanak-kanak daripada keluarga miskin terus terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan,” katanya yang juga pesuruhjaya Suhakam kepada MalaysiaNow.

Atas sebab itu, Madeline menyeru pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya memastikan makanan bernutrisi dan berkhasiat disalurkan secara berterusan kepada keluarga yang berisiko tinggi dan mudah terancam akibat pandemik Covid-19.