- Iklan -
Berita

Graduan tinggalkan pasaran pekerjaan untuk perniagaan mikro

Semakin ramai golongan muda menggunakan media sosial dan internet untuk memulakan perniagaan mereka.

Amanda Suriya
3 minit bacaan
Kongsi
Pelajar jurusan undang-undang Hana Mira, masih ada setahun lagi sebelum tamat pengajian, tetapi sudah menyedari cabaran bakal dihadapi untuk bersaing mendapatkan pekerjaan.
Pelajar jurusan undang-undang Hana Mira, masih ada setahun lagi sebelum tamat pengajian, tetapi sudah menyedari cabaran bakal dihadapi untuk bersaing mendapatkan pekerjaan.

Persaingan hebat pasaran pekerjaan yang semakin mengecil menyebabkan sebahagian graduan memikirkan semula pekerjaan berkait jurusan dipelajari, menyebabkan mereka mempertimbangkan pilihan lain, termasuk menjadi usahawan mikro dalam dunia tanpa sempadan sektor e-dagang.

Ketika pandemik Covid-19 terus mengucar-ngacirkan ekonomi, semakin banyak syarikat-syarikat menghentikan sementara pengambilan latihan amali para pelajar dan pekerja baru, menyebabkan rancangan para graduan untuk memasuki alam pekerjaan pada tahun ini terbantut.

Seorang mahasiswi, Hana Mira, 20, yang masih mempunyai baki setahun dalam jurusan undang-undang, menyedari mengenai kesan pandemik terhadap pasaran pekerjaan ketika ini.

“Saya tidak akan mengatakan saya pesimistik, tetapi saya akan katakan saya mungkin sedikit tidak bernasib baik dalam usaha mendapatkan kerja semasa pandemik ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini kerana saya tidak mempunyai sebarang pengalaman kerja, dan terbukti kebanyakan syarikat cenderung memilih mereka yang berpengalaman.”

Agak sukar juga bagi graduan baru memenuhi syarat dikenakan syarikat untuk mengisi sesuatu jawatan khusus dan ini menyukarkan peluang mereka, katanya.

Kesimpulannya, dia percaya kebarangkalian untuk dirinya mendapat pekerjaan biasa adalah amat tipis.

“Saya rasa mungkin saya boleh melakukan pekerjaan lain berbanding kerja di pejabat.”

Bukan untuk semua orang

Memilih untuk meninggalkan peluang kerja konvensional dan terjun ke dalam dunia perniagaan mikro lebih mudah diungkap daripada melakukannya.

Wei Pen, 25, graduan dalam bidang psikologi yang tamat pengajian tahun lalu berkata, melihat kejayaan rakan-rakan dalam bidang perniagaan mikro menjadi inspirasi buatnya untuk mencuba sendiri.

“Tetapi untuk melakukannya anda memerlukan modal, sebab itu saya tidak berjaya.”

Dia sekarang bekerja dalam bidang peruncitan, walaupun seronok dengan pekerjaannya tetapi kadang-kala tertanya-tanya bagaimana kehidupannya jika perniagaan mikro miliknya tidak gagal.

Sementara itu, Hana lebih bernasib baik. Sama seperti golongan muda Malaysia yang lain, dia menggunakan media sosial untuk menjual produknya.

Dia memulakan perniagaannya pada bulan Jun dengan menjual album K-pop. Pada mulanya dia sekadar membeli untuk dirinya sendiri tetapi menyedari harganya lebih murah dalam satu laman sesawang di Korea.

Ia menjadi permulaan kerjayanya sebagai “pengurus pesanan kumpulan” (GOM). Dia akan membeli album dalam talian sebelum menjualkanya kembali pada harga lebih kompetetif.

“Saya mengiklankannya dalam Twitter dan menerima 10 pesanan, ia mengejutkan saya walaupun mereka tidak mengenali saya, mereka membelinya,”katanya

Dia kemudian mengira kos penghantaraan dan harga semasa produk sebelum membuat pembayaran sama ada menggunakan akaun PayPal miliknya ataupun kad kredit ayahnya.

Buat masa ini ia satu perniagan kecil, lebih kecil daripada standard perniagaan mikro, namun berharap untuk mengembangkan lagi perniagaannya satu hari nanti.

“Saya membayangkan diri saya memulakan atau memiliki perniagaan sendiri pada masa hadapan, mungkin selepas saya memperoleh pendapat yang lebih kukuh,” katanya.

Dan dia bukan keseorangan. Dia memberitahu MalaysiaNow kini terdapat orang lain yang sama sepertinya memulakan perniagaan yang diceburinya.

“Ada akaun GOM yang memiliki lebih 800 hingga 4,000 pengikut atau pembeli terkumpul.”

‘Menarik’

Disebabkan tidak memiliki sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan atau pemasaran, harapan Hana masih rendah. Bagaimanapun, dia berminat untuk terus ke hadapan.

“Saya rasa ia adalah projek yang menarik,” katanya.

“Saya ingat nak buat sekali sahaja, tetapi saya berpeluang meneruskan perniagaan sehingga ke hari ini.”

Lebih menarik, perniagaan mikro mungkin jawapan buat ribuan usahawan yang sedang berjuang untuk kekal hidup ketika ekonomi merudum akibat Covid-19.

Menurut Hana, terdapat peningkatan dalam perniagaan tempatan di platform TikTok

“Sebilangan besar daripada mereka menjual barang-barang buatan tangan seperti getah pengikat rambut, barang perhiasan, beg tote mempunyai lukisan dan disesuaikan,” katanya.

“Saya melihat beberapa video di mana pemilik perniagaan memperoleh pendapatan tiga kali ganda daripada kebiasaan, walaupun ada dalam kalangan mereka hampir gulung tikar kerana pandemik.”

Sudut positif lain, dia melihat wujud peningkatan sokongan terhadap perniagaan tempatan.

“Walaupun wabak ini menular bagi kebanyakan kita, saya gembira melihat usahawan bercita-cita yang mungkin mula melakukannya sebagai hobi tetapi berpeluang mengembangkan perniagaan mereka sendiri dari rumah.

“Melihat kepada sokongan yang mereka peroleh daripada rakyat Malaysia dan kadangkala dari luar negara – ia amat menyentuh hati.”