Thursday, September 23, 2021

Berikan saya kebebasan, dan juga kematian?

Titah Agong hari ini merupakan perkara terbaik daripada pelaksanaan darurat untuk menghentikan gangguan daripada ahli politik kita

Other News

Berikan saya kebebasan atau berikan saya kematian! Petikan ucapan Patrick Henry, salah seorang pengasas Amerika Syarikat dalam ucapan bersejarahnya pada 1775.

Pada ketika itu beliau bercakap tentang berperang dengan negara luar sebagai percubaan mendapatkan kemerdekaan.

Akan tetapi petikan ucapan itu bertukar menjadi dikotomi bagi sesetengah orang: sama ada berikan kami kebebasan atau berikan kami kematian.

Kita boleh melihat naratif daripada mulut sesetengah orang beberapa hari sebelum Istana Negara hari ini mengumumkan untuk tidak melaksanakan darurat.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah secara tidak berselindung memberi teguran kepada mereka yang taksub terhadap “politicking” dan mereka yang mengganggu usaha sukar memerangi Covid-19.

Agong juga turut menyentuh mengenai belanjawan bulan depan, yang merupakan sebab utama cadangan supaya istana mempertimbangkan untuk melaksanakan darurat. Sebarang langkah oleh sekumpulan ahli Parlimen untuk menolak undi belanjawan akan menyebabkan pilihan raya tergempar.

Apakah yang ditunjukkan dalam beberapa hari menjelang keputusan Agong tadi?

Di sebalik merasa lega politik dan perebutan kuasa atas nama demokrasi terhenti seketika, suara “kebebasan” ini menimbulkan pula tentang kediktatoran menakutkan akan mengambil alih.

Siapakah mereka yang membantah pelaksanaan darurat, yang akan menangguhkan pilihan raya dan menggantung proses politik di Parlimen?

Selain amaran Agong hari ini, darurat kelihatan seperti satu-satunya cara untuk menekan butang henti seketika kepada kebisingan politik kita.

Jutaan orang mungkin membanjiri ribuan pusat mengundi, semua disebabkan ahli politik dari dua-dua belah pihak percaya terdapat kebebasan untuk menukar parti sesuka hati mereka.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkesan untuk mengurangkan kontak fizikal, yang dipersalahkan secara universal menularkan Covid-19.

Akan tetapi walaupun ia menyebabkan orang ramai duduk di rumah, ia tidak akan dapat menghentikan perebutan kuasa di Parlimen dan akhirnya mencetus kluster pilihan raya – kesemua mereka 222 orang.

Walaupun selepas pilihan raya umum, tiada jaminan ahli Parlimen daripada blok berbeza akan kekal menyokong parti mereka di Dewan Rakyat jika dipilih sekali lagi.

Tiada apa yang boleh menghalang mereka mengubah sokongan jika merasakan lebih menguntungkan diri dan merupakan hak dijamin perlembagaan untuk berbuat demikian.

Dan bagi pemimpin berdepan dengan pelbagai tuduhan rasuah, mereka juga mempunyai hak yang sudah pasti akan digunakan, mengharapkan dapat dibebaskan daripada pendakwaan, walaupun ini bermakna pilihan raya umum perlu diadakan ketika pandemik sedang mengganas.

Melaksanakan kembali PKP juga bukan satu pilihan. Ia mungkin berjaya sebelum ini tetapi akan memperlihatkan sikap pilih kasih.

Ketika kita menafikan jutaan orang kebebasan hidup seperti biasa dan mencari sesuap nasi, kita membenarkan sekumpulan ahli politik membuat perancangan sulit menggunakan proses parlimen, sama ada secara maya atau fizikal, semuanya atas nama demokrasi.

PKP tidak akan menjejaskan pekerja kolar putih dan populasi celik IT. Mudah bagi golongan ini meminta PKP dilaksanakan semula terutamanya apabila mempunyai kad kredit dihubungkan ke aplikasi membeli-belah, memberikan kemudahan membeli makanan di hujung jari, semuanya dilakukan semudah mengkritik orang lain.

Tetapi bagaimana dengan jutaan yang lain?

Tukang potong rumput, tukang bersih pejabat, pekerja kilang, tukang cuci kereta yang mungkin tiada kemewahan sama.

Satu-satunya cara bagi mereka ialah dibenarkan untuk keluar bekerja walaupun terdapat sekatan. Tetapi sampai bila?

Jika majoriti tangan tidak diangkat untuk meluluskan belanjawan di Dewan Rakyat, ia akan memaksa pilihan raya tergempar diadakan dan wajah utama petugas barisan hadapan Dr Noor Hisham Abdullah dan beribu di bawahnya sangat tahu apa yang bakal berlaku selepas itu.

Kluster jangkitan pilihan raya umum tidak berlaku begitu sahaja. Kita yang menyebabkannya. Sesiapa yang tidak mempercayainya boleh bertanya kepada Mohd Shafie Apdal.

Ironinya, ancaman terbesar dalam kehidupan kita semasa pandemik adalah perkara yang kita lihat sebagai simbol kepada kebebasan.

Pilihan raya umum, mobilisasi keseluruhan pengundi, adalah yang teratas dalam senarai itu.

Jika kita boleh menutup institusi paling suci atas nama kesihatan – tempat mendapatkan ilmu dan tempat ibadat, mengapa terlalu heboh tentang menghentikan seketika 222 orang dewasa daripada memperjudikan kesihatan kita?

Kebebasan mempunyai makna berbeza kepada setiap orang sama ada seorang itu liberal atau pun konservatif.

Sudah tiba masanya untuk kita melawan kebebasan yang menganggu seperti itu.

Buat masa ini, Agong sudah bertitah.

Tetapi sama ada beberapa bekas menteri kewangan mengendahkan amaran itu, ia masih belum diketahui.

Ya, berikan kami kebebasan, tetapi biarlah kami hidup untuk menikmatinya.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles