- Iklan -
Berita

Zuraida minta Anwar cermin diri sendiri

Apa yang Anwar lakukan menimbulkan persoalan serius mengenai kebolehannya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua wanita PKR, Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama
Bekas ketua wanita PKR, Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama

Bekas ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata Anwar harus bertanggungjawab di atas ketidakstabilan politik yang berlaku ketika pandemik Covid-19 melanda negara, dengan memberitahu bekas bosnya untuk “cermin diri sendiri” dan melupakan “cita-cita kecilnya”.

Zuraida yang kini merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, mengingatkan Anwar mengenai dakwaan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Anwar mendakwa kerajaan tidak telus, tetapi dirinya sendiri gagal untuk bersikap telus kepada Yang di Pertuan Agong dengan dakwaan memiliki majoriti ‘kukuh dan meyakinkan’”, kata Zuraida, merujuk kepada pertemuan Anwar dengan Agong pada minggu lepas di mana beliau gagal memberi butiran dakwaan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Apa yang beliau lakukan menimbulkan persoalan serius mengenai kebolehannya dengan jawatan tinggi yang selama ini beliau bertindak kejam dan bersungguh-sungguh sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat.”

Anwar sebelum itu mengecam rancangan menggunakan kuasa Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan proses Parlimen, yang merupakan satu tindakan bagi mengelak berlakunya pilihan raya tergempar ketika pandemik Covid-19.

Anwar berkata apa jua langkah yang menjurus kepada darurat adalah tindakan “diktator”dan mendakwa kerajaan sekarang “bergelut dengan persoalan keabsahan.”

Semalam, MalaysiaNow melaporkan pakar undang-undang di Putrajaya sedang mengkaji pilihan untuk mengisytiharkan darurat bagi mengelak pilihan raya tergempar.

Ini berlaku selepas rayuan berulang kali oleh pegawai kesihatan kanan semasa mesyuarat peringkat tertinggi minggu ini, berikutan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 yang setakat ini telah meragut lebih daripada 200 nyawa.

MalaysiaNow juga mendedahkan terdapat sekumpulan ahli Parlimen yang bersekutu dengan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang menyokong Anwar dalam usahanya untuk menguasai Putrajaya, akan memaksa pilihan raya tergempar jika memilih untuk tidak meluluskan belanjawan yang akan dibentangkan pada 6 November.

Sekiranya tiada majoriti yang jelas daripada kedua-dua blok tersebut, senario seperti ini akan memaksa pilihan raya tergempar, yang dilihat sebagai senario terburuk yang bakal menyebabkan peningkatan jangkitan Covid-19 setiap hari.

Zuraida mengatakan dakwaan Anwar mendapatkan sokongan majoriti adalah sebahagian daripada “drama berlarutan dan semberono”.

“Saya tidak dapat memikirkan satu contoh di mana seorang pemimpin politik kanan memperlakukan dirinya sedemikian rupa ketika negaranya menghadapi krisis kesihatan yang belum pernah terjadi sebelumnya,” tambahnya.