- Iklan -
Berita

Tindakan diktator, kata Anwar kepada Muhyiddin

Darurat hanya dilakukan bila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim
Presiden PKR Anwar Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbangnya dengan laporan-laporan media mengatakan kerajaan akan melaksanakan perintah darurat.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut sebagai satu cara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menghalang proses Parlimen.

“Pengisytiharan darurat hanya dilakukan bila mana terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara. Tetapi apabila kerajaan itu sendiri yang menjadi punca pada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ternyata suatu langkah kebelakang yang akan memungkin kediktatoran.

“Saya menggesa Muhyiddin Yassin untuk menimbang semula keputusan ini kerana ia ternyata suatu keputusan yang pendek akal dan penting diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Anwar pada 23 September mengumumkan mempunyai sokongan majoriti “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan Muhyiddin.

Akan tetapi apabila mengadap Agong pada 13 Oktober, presiden PKR itu gagal mengukuhkan dakwaannya dengan memberikan senarai ahli Parlimen, kata Istana Negara dalam satu kenyataan pada hari sama.

Minggu lepas, MalaysiaNow mendedahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak secara sepihak menulis surat kepada Yang di Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk menumbangkan Muhyiddin.

Dalam kenyataan hari ini Anwar berkata, menggunakan isu Covid-19 sebagai alasan untuk terus kekal berkuasa adalah satu penyalahgunaan kuasa.

“Hari ini kita sedang menyaksikan babak sejarah yang tidak pernah berlaku sebelumnya yakni mempunyai sebuah kerajaan yang bergelut dengan persoalan keabsahan, dan sedang menggunakan wabak Covid-19 yang memungkin penyalahgunaan kuasa.

“Dengan langkah ini, maka kerajaan Perikatan Nasional yang tidak ada keabsahan ini menonjolkan kelemahan mereka dalam menangani wabak Covid-19 dan kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang.

“Negara-negara di rantau ini sedang memikirkan pelbagai cara bagi menangani wabak dan benarkan aktiviti ekonomi untuk bergerak, namun Malaysia sedang bergerak ke belakang.”

Bagi Anwar kerajaan perlu lebih telus dan bertanggungjawab dengan menggunakan kementerian yang terlibat dalam mendepani wabak Covid-19.