- Iklan -
Berita

Tiada perhimpunan Agung Umno tahun ini

Perhimpunan Agung Tahunan boleh diadakan bila-bila masa tidak lewat 18 bulan dari tarikh perhimpunan lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perhimpunan Agung Umno 2020 ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19. Gambar; AFP
Perhimpunan Agung Umno 2020 ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19. Gambar; AFP

Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung Umno 2020 ditangguhkan sehingga ke satu tarikh lain ekoran pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan memaklumkan mengenai penangguhan itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, penangguhan itu dilakukan mengikut Fasal 8.2 Perlembagaan Umno yang mana menyatakan “Perhimpunan Agung Tahunan hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi dengan syarat tidak lewat dari 18 bulan dari tarikh perhimpunan agung yang lalu”.

Menjelaskan lanjut beliau berkata, fasal tersebut turut dibacakan bersama Perkara 5.4 Peraturan Persidangan bahawa tarikh perhimpunan agung, tarikh mesyuarat perwakilan bahagian dan tempoh persidangan cawangan ditentukan oleh Majlis Tertinggi.

“Tarikh Perhimpunan Agung Umno 2019 berlangsung pada 6 dan 7 Disember 2019, maka 18 bulan selepas itu ialah selewatnya pada 5 Jun 2021,” kata kenyataan itu.

Katanya, dipersetujui tarikh mesyuarat perwakilan bahagian pada Mac atau April 2021 dan Perhimpunan Agung 2020 pada Mei atau awal Jun 2021. Tarikh yang tepat akan dimaklumkan kemudian.

Tambahnya, penangguhan ini melibatkan 764 persidangan iaitu empat mesyuarat perwakilan untuk setiap 191 bahagian Umno di seluruh negara.

“Oleh kerana begitu banyak perhimpunan yang melibatkan puluhan ribu orang, ia kemungkinan berupaya untuk berlaku penularan wabak Covid-19,” katanya.

Jawatankuasa Pengurusan Umno bersetuju sebulat suara mengenai keputusan ini dan mendapat persetujuan secara majoriti daripada ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno melalui “circular resolution” atau pun resolusi secara edaran.

Beliau juga memaklumkan ahli jawatankuasa Umno Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di 191 bahagian adalah disarankan untuk mengadakan pelbagai aktiviti kebajikan prihatin rakyat dan ziarah kasih kepada yang memerlukan bantuan dalam kawasan masing-masing.

“Segala aktiviti mestilah mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.