- Iklan -
Berita

Ismail Sabri ajak Hannah Yeoh bersama perangi Covid-19

Beliau berkata, pada ketika ini perbezaan politik harus diketepikan untuk memastikan penularan Covid-19 dihentikan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama.

Semua pihak perlu melupakan perbezaan politik ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan bersama dalam memerangi penularan virus itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, apa yang penting ketika ini adalah memutuskan rantaian Covid-19 dan menyekat penularan virus itu dalam negara.

Ismail menjelaskan beliau bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung tindakan diambil pihak berkuasa terhadap mereka yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Saya dah beritahu, lupakan perbezaan politik, yang penting saya pun nak mengajak dia (Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh) bersama untuk fokuskan tenaga kita untuk sama-sama memerangi pandemik Covid-19.

“Sama-sama kita menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat Malaysia. Insya-Allah jika kita bersama, kita akan menang, kita akan berjaya,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail memberi reaksi terhadap gesaan Yeoh menerusi laman sosial Twitter yang mahu beliau berhenti mengadakan sidang media harian jika tiada pengumuman substantif yang dapat membantu rakyat.

Ismail menjelaskan beliau bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada rakyat berhubung tindakan diambil pihak berkuasa terhadap mereka yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Orang nak (mahu) pihak berkuasa ambil tindakan kerana tindakan itu boleh menyelamatkan orang lain dan rakyat nak tahu apa tindakan yang diambil kerajaan.

“Kalau saya tidak laporkan, orang menganggap kerajaan tidak melakukan apa-apa terhadap mereka yang melanggar SOP, membimbangkan dan membahayakan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata rakyat juga mahu tahu sekiranya tindakan tegas diambil terhadap pendatang tanpa izin yang turut menjadi punca penularan Covid-19 dalam negara.

Ismail juga menegaskan seperti yang ditetapkan sebelum ini, beliau hanya memberi sidang media berhubung keselamatan, sementara Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah akan menyalurkan maklumat berkaitan kesihatan.