- Iklan -
Berita

Gesaan Zahid pandangannya sendiri, tukar PM tak hapuskan virus, kata Annuar Musa

Pemimpin Umno itu berkata negara kini sedang berdepan dengan krisis politik, kesihatan dan ekonomi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Annuar Musa dilihat vokal mengkritik pimpinan Umno yang dilihat tidak jelas pendirian. Gambar: Bernama
Annuar Musa dilihat vokal mengkritik pimpinan Umno yang dilihat tidak jelas pendirian. Gambar: Bernama

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno mengatakan gesaan presiden parti Ahmad Zahid Hamdidi untuk “gencatan politik” dilakukan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam mesyuarat semalam.

Annuar Musa yang juga menteri Wilayah Persekutuan turut menafikan laporan MalaysiaNow mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur semalam berjalan sehingga empat jam.

“Presiden dan Umno memahami keutamaan adalah rakyat, apa lagi bila melibatkan nyawa dan kesihatan,” kata Annuar.

Semalam, Zahid menggesa partinya untuk mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional, beberapa hari selepas pendedahan beliau dan bekas presiden Umno, Najib Razak menulis surat kepada Agong, menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Anwar sebelum ini mengumumkan rancangannya untuk merampas Putrajaya melalui pembelotan ahli Parlimen, tetapi kemudiannya gagal membuktikan dakwaan mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” dalam pertemuan selama kurang 30 minit bersama Agong pada 13 Oktober.

Isi kandungan surat Zahid yang didedahkan MalaysiaNow mengundang reaksi daripada pemimpin Umno, dengan penasihatnya Tengku Razaleigh Hamzah memberikan amaran mereka yang menyokong parti lawan boleh dibuang.

Gesaan Zahid dilihat sebagai “pusingan U”, tidak berapa lama selepas mendakwa partinya dipinggirkan daripada jawatan kanan dalam kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Annuar berkata kerajaan perlu diberikan masa dan kestabilan politik penting untuk memulihkan negara akibat krisis Covid-19.

“Bajet perlu ada untuk membiayai pelbagai tindakan termasuk operasi melindungi nyawa rakyat”.

Semalam MalaysiaNow melaporkan terdapat percubaan untuk menggagalkan Belanjawan 2021 bagi memaksa pilihan raya umum mengejut diadakan.

Annuar berkata kerajaan perlu diberikan masa dan kestabilan politik penting untuk memulihkan negara akibat krisis Covid-19.

Annuar berkata, krisis Covid-19 memerlukan kerajaan berani mencari ikhtiar secara bukan konvensional tetapi sebaliknya berfikir secara norma baru dan di luar kotak.

“Sementara itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu buat persiapan menggubal SOP baru yang komprehensif sebelum boleh diadakan pilihan raya umum.

“Malah Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Batu Sapi yang wajib diadakan, patut tidak diadakan sehingga semuanya terkawal,” katanya.

Annuar turut memberikan amaran tentang percubaan untuk menggugat kestabilan politik ketika krisis Covid-19.

“Tukar PM tidak menghapuskan virus ini. Malah pilihan raya juga tidak akan menyelamatkan rakyat malah boleh memporak-perandakan lagi,” katanya.