- Iklan -
Berita

Dilema pusat tuisyen akibat Covid-19, semakin banyak bakal gulung tikar

Pemilik sanggup menjual pusat tuisyen serendah RM7,000 kerana sudah tidak mampu meneruskan operasi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pemilik-pemilik pusat tuisyen mengiklankan penjualan premis milik mereka kepada pihak yang berminat.
Pemilik-pemilik pusat tuisyen mengiklankan penjualan premis milik mereka kepada pihak yang berminat.

Peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini yang menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bakal menyebabkan lebih banyak pusat tuisyen di Kuala Lumpur dan Selangor gulung tikar kerana tidak lagi mampu meneruskan operasi.

Walaupun kebanyakannya sudah bersiap sedia dengan perancangan pembelajaran komprehensif sepanjang tempoh pandemik Covid-19 seperti kelas tambahan secara dalam talian, pemecahan kelas kepada dua bahagian untuk mengurangkan bilangan pelajar dalam bilik darjah serta pemilihan masa kelas yang lebih fleksibel.

Seorang pemilik sebuah pusat tuisyen di Danau Kota yang hanya mahu dikenali sebagai Kana berkata, beliau sudah tidak mampu lagi menampung bayaran gaji guru serta utiliti dan memutuskan untuk menutup perniagaan yang beroperasi sejak tahun 2012.

Kana yang juga bekas guru berkata, beliau dan guru-guru di pusat tuisyennya membuat perbincangan rapi sebagai persediaan berdepan dengan sebarang kemungkinan sejak awal Mac lalu seperti menawarkan sesi pembelajaran dalam talian kepada pelajar.

“Sebelum PKP, ibu bapa sudah was-was sama ada mahu hantar anak ke kelas tuisyen atau tidak. Sewaktu PKP, pelajar keliru, terbeban sebab banyak sesi kelas dengan sekolah masing-masing,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sejak itu, saya perasan ibu bapa mula menghubungi dan mahu tarik diri. Lama kelamaan bilangan yang keluar semakin bertambah dan kami tidak boleh membuat apa-apa bayaran gaji kerana tiada pendapatan”.

Pada Jun lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan akan membentang prosedur operasi standard (SOP) pusat tuisyen swasta namun sehingga kini tiada perkembangan baru dilaporkan.

Kana berkata, meskipun terdapat perbincangan dengan ibu bapa supaya pelajar terus mendaftarkan diri mengikuti kelas tuisyen, masalah kewangan menyebabkan ia menemui jalan buntu.

“Sikap ibu bapa yang jujur memberitahu saya bahawa mereka ada konflik kewangan terutama sewaktu tempoh PKP buatkan saya puas hati.

“Sekurangnya mereka keluar bukan sebab tak suka khidmat kami, tapi disebabkan masalah peribadi yang lain.”

Tinjauan MalaysiaNow di pusat jualan atas talian mendapati lebih 10 pusat tuisyen di Kuala Lumpur dan Selangor sedang mencari pemilik baru untuk mengambil alih perniagaan.

Rata-rata jualan bermula dengan harga serendah RM7,000 hingga RM65,000 mengikut saiz-saiz kelas dan fasiliti yang dijual.

Manakala lokasi yang terbanyak disenaraikan untuk dijual berada di sekitar Cheras, Pudu, Damansara, Bandar Tun Razak, Subang Jaya dan Shah Alam.

Kana berkata, meskipun terdapat perbincangan dengan ibu bapa supaya pelajar terus mendaftarkan diri mengikuti kelas tuisyen, masalah kewangan menyebabkan ia menemui jalan buntu.

Ketika dihubungi, salah seorang pengusaha pusat tuisyen di Subang Jaya, mahu dikenali sebagai Kenny berkata, beliau mengambil keputusan untuk menjual perniagaannya yang berusia 13 tahun itu kerana aliran tunai yang tidak stabil sepanjang pandemik terutama sekali sejak perintah PKP berkuat kuasa Mac lalu.

Beliau memberitahu, pusat tuisyen tersebut mempunyai lebih 200 pelajar dan 13 guru yang mengajar kelas tambahan bagi mata pelajaran sekolah rendah dan menengah.

Sebelum Covid-19, beliau mampu meraih pendapatan sebanyak RM60,000 hingga RM70,000 selepas ditolak bayaran gaji kakitangan dan utiliti.

Bagaimanapun, katanya sejak pandemik, bayaran yang diterima kurang daripada RM10,000.

“Sebelum PKP pun sudah ramai tidak datang belajar. Sejak PKP, tiada bayaran yuran dikutip. Ia menjejaskan perniagaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, cadangan untuk mengadakan sesi kelas tuisyen secara dalam talian tidak disambut baik ibu bapa apabila mereka memberhentikan anak-anak masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya bersangka baik berkemungkinan faktor kewangan ibu bapa yang tidak stabil sewaktu pandemik menjadi penyebab para pelajar berhenti.

“Tapi sekarang semua pun susah, siapa mahu beli bisnes (pusat tuisyen) kita?”

Sementara itu, Pengurus Pusat Tuisyen Sinar di Bandar Tun Razak Kasthuri Tennarasan berkata, perniagaaannya yang sudah menapak sejak 9 tahun lalu berdepan kesulitan besar kerana tiada bayaran yuran dikutip sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sehingga Ogos lalu.

Manakala kelas tambahan yang dimulakan semula pada awal September lalu terpaksa ditangguhkan kerana PKPB dilaksanakan di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuat kuasa bermula 14 hingga 27 Oktober.

Beliau sedang mempertimbangkan untuk menjual pusat tuisyen tersebut kepada pasukan pengurusan baru lengkap dengan fasiliti kelas, perabot, tenaga pengajar dan 119 pelajar.

“Kami tak kenakan bayaran yuran kerana tiada kelas berlansung sepanjang tempoh enam bulan tersebut.

“Kelas dalam talian pula tidak boleh dijalankan mengambil kira keadaan murid yang mungkin tidak memiliki akses internet dan peralatan yang mencukupi di rumah,” katanya kepada MalaysiaNow.