- Iklan -
Berita

Akta berkaitan perlindungan ketika Covid-19 berkuat kuasa esok

Warta Kerajaan akan berkuat kuasa 2 tahun dari tarikh penyiaran iaitu pada 23 Oktober.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 diwartakan kerajaan selama dua tahun, berkuatkuasa esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab hal Parlimen dan Undang-Undang, Takiyuddin Hassan, berkata Warta Kerajaan itu akan berkuatkuasa selama dua tahun dari tarikh penyiaran iaitu pada 23 Oktober.

“Akta ini akan berkuatkuasa selama dua tahun dari tarikh penyiaran pada 23 Oktober dalam Warta Kerajaan atau sebagaimana tarikh dan tempoh kuat kuasa yang diperuntukkan di mana-mana bahagian yang berkaitan dalam akta ini.

“Pelaksanaan ini secara keseluruhannya dapat memberi manfaat kepada setiap individu dan syarikat yang terkesan dari aspek ekonomi akibat penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, daripada awal lagi kerajaan persekutuan komited dan prihatin terhadap usaha mengurangkan kesan Covid-19 bukan sahaja dalam aspek kesihatan, tetapi juga terhadap ekonomi individu dan syarikat di negara ini.

“Antara langkah yang diambil adalah dengan mengadakan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2020 dan Dewan Negara pada 22 September 2020.

“Ia diwartakan bermula esok selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pihak berkontrak yang bertikai boleh menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa membabitkan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Perkhidmatan pengantaraan yang akan dijalankan melalui PMC-19 adalah terbuka kepada semua pihak dengan nilai pertikaian RM300,000 ke bawah.

“Kerajaan juga akan membiayai kos perkhidmatan pengantaraan kepada golongan B40 dan M40 serta perusahaan bersaiz mikro dan kecil,” katanya.