- Iklan -
Berita

Akibat Covid-19, sekolah swasta bagai telur di hujung tanduk

Ramai ibu bapa bertindak memindahkan anak mereka ke sekolah kerajaan kerana sudah tidak berkemampuan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Sekolah kerajaan menjadi opsyen utama selepas ibu bapa terjejas pendapatan akibat kehilangan pekerjaan.
Sekolah kerajaan menjadi opsyen utama selepas ibu bapa terjejas pendapatan akibat kehilangan pekerjaan.

Pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dan kehidupan di seluruh dunia turut memberikan kesan kepada sekolah-sekolah swasta apabila ramai ibu bapa mula memindahkan anak-anak mereka ke sekolah kerajaan disebabkan punca pendapatan terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mei.

Beberapa pemilik sekolah swasta memberitahu MalaysiaNow, kebanyakan ibu bapa mengambil pendekatan itu selepas pendapatan mereka semakin berkurangan, malahan ada juga yang hilang pekerjaan disebabkan syarikat menutup operasi.

“Jumlah pelajar semakin menurun mendadak sejak PKP berakhir Mei lalu. Selepas sekolah dibuka, berderet ibu bapa keluarkan anak-anak untuk masuk ke sekolah kerajaan,” kata pemilik sekolah rendah Islam swasta di Seri Kembangan, Selangor yang meminta agar tidak menamakan sekolahnya.

“Keadaan ini bukan sahaja berlaku kepada saya sahaja tetapi juga rakan-rakan pemilik sekolah rendah Islam yang lain. Ini menyedihkan”.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Shahrel berkata, sekolahnya yang baru berusia empat tahun itu “bagai telur di hujung tanduk” dan mungkin akan menutup operasi dalam tempoh terdekat susulan tekanan kewangan akibat kekurangan pelajar.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diisytiharkan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menyaksikan sekolah ditutup kembali selepas dibuka pada Julai lalu.

Selaras dengan pengumuman tersebut, semua institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk tadika, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam negeri-negeri berkenaan terpaksa ditutup.

“Keadaan ini bukan sahaja berlaku kepada saya sahaja tetapi juga rakan-rakan pemilik sekolah rendah Islam yang lain. Ini menyedihkan”.

Situasi sama berlaku kepada sebuah sekolah rendah swasta di Bangi yang terbeban dengan masalah kewangan sehingga menjejaskan bayaran gaji para kakitangan terutamanya kepada guru-guru.

Pengurus sekolah yang enggan dinamakan berkata, pihaknya terpaksa akur apabila ibu bapa mengambil tindakan meminta surat pertukaran anak ke sekolah kebangsaan beberapa bulan selepas PKP tamat.

“Masa PKP hari itu pun kami (sekolah) didesak untuk kurangkan bayaran dan pulangkan separuh yuran kerana sesi kelas berlaku secara dalam talian. Kami berasa sangat tertekan kerana guru-guru perlu dibayar gaji.

“Semangat kami baru mulai pulih selepas PKP tamat, masih biasakan diri dengan norma dan SOP baru, tapi nampaknya tidak mampu bertahan juga. Sesuatu perlu dilakukan,” katanya kepada MalaysiaNow tanpa menamakan sekolahnya.

Katanya, sekolah turut berdepan kesulitan apabila mendapati terdapat kelompongan dalam trend bayaran yuran pelajar disebabkan masalah kewangan yang dihadapi ibu bapa.

Beliau dimaklumkan pihak pentadbir sekolah terdapat ibu bapa yang meminta bayaran yuran bulanan ditangguh kerana tidak cukup wang atau sudah tiada pendapatan kerana diberhentikan kerja.

“Kami tumpang simpati, tetapi kami juga mempunyai guru dan kakitangan yang perlu diberi makan.”

Pengasas Cempaka National School Freida Pilus berkata, sekolah-sekolah swasta perlu bersiap sedia dan sentiasa mencari jalan memastikan penyampaian dan pembelajaran dapat diteruskan dalam tempoh pandemik.

Freida berkata, pengusaha sekolah swasta mesti kreatif dan inovatif dalam keadaan dunia yang sentiasa berubah.

“Mula-mulanya sukar bagi guru-guru saya tetapi kita tabah dan sentiasa mencari jalan untuk memberi pendidikan sebaik mungkin kepada anak-anak di Cempaka.

“Kita harus mengikut SOP yang ketat apabila sekolah diberi kebenaran untuk buka semula.

“Sementara itu cari sistem alam maya yang senang digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran. Sistem yang senang diguna oleh guru-guru, anak murid serta ibu bapa,” katanya kepada MalaysiaNow.