- Iklan -
Berita

Adakah Anwar permain dan bohongi Agong, soal penganalisis

Apakah kewibawaan yang masih tersisa pada presiden PKR itu jika terbukti beliau mempermainkan dan membohongi Agong, kata Kamarul Zaman.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas memberi keterangan di Bukit Aman pada 16 Oktober lalu bagi membantu siasatan berkenaan dakwaannya mempunyai sokongan ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.
Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas memberi keterangan di Bukit Aman pada 16 Oktober lalu bagi membantu siasatan berkenaan dakwaannya mempunyai sokongan ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.

Seorang penganalisis politik mempersoalkan tindakan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dilihat seolah-olah mempermainkan Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultah Ahmad Shah berhubung dakwaan mempunyai sokongan “kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan persekutuan.

Ini susulan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam memfokuskan agenda memperkasa rakyat dan ekonomi di tengah-tengah pandemik Covid-19 melanda negara.

“Maka satu soalan besar yang wajib dijawab sekarang ialah apakah Anwar Ibrahim mempermainkan atau membohongi Agong bila mendakwa beliau mendapat sokongan dan kepercayaan daripada Umno sedangkan ketua parti politik Umno sendiri menyatakan Umno mendokong kerajaan Perikatan Nasional?” tulis Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia di Facebook.

Semalam, Zahid mengeluarkan kenyataan menggesa “gencatan politik” beberapa hari selepas pendedahan berkenaan beliau dan bekas presiden Umno, Najib Razak menulis surat kepada Agong untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Kamarul turut mempersoalkan sama ada Anwar masih mempunyai kewibawaan sebagai pemimpin selepas episod pertemuan di Istana Negara sekiranya terbukti presiden PKR itu benar-benar mempermainkan atau membohongi Agong dalam urusan tersebut.

“Pejabat Anwar Ibrahim tidak pernah menafikan ketulenan surat beliau bertarikh 12 Oktober 2020 kepada Agong yang tular dalam media sosial.

“Malah seorang penyokong kuat beliau, Badrulamin Bahron, menyebutnya sebagai surat rasmi dan diklasifikasikan sebagai rahsia,” katanya.

Pada 13 Oktober, Anwar mengadap Agong selama kurang 30 minit di Istana Negara bagi mempersembahkan sokongan yang didakwanya “kukuh dan meyakinkan” untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan beberapa minit selepas sidang media Anwar di Kuala Lumpur memberitahu, kunjungan tersebut tidak disertai oleh senarai nama ahli-ahli Parlimen yang menyokong presiden PKR itu.