- Iklan -
Berita

Kes Covid-19 kembali melepasi angka 800

847 kes baru, 5 kematian dan 486 pesakit sembuh.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kakitangan jabatan kesihatan Kota Kinabalu memakai sut PPE bagi mengumpul sampel Covid-19 sebelum dihantar ke makmal untuk diuji. Gambar: Bernama
Kakitangan jabatan kesihatan Kota Kinabalu memakai sut PPE bagi mengumpul sampel Covid-19 sebelum dihantar ke makmal untuk diuji. Gambar: Bernama

Sebanyak 847 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini melibatkan 842 jangkitan tempatan dan 5 kes import.

Sabah kekal mencatatkan kes baru Covid-19 tertinggi iaitu 578 dikesan postitif.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 8,183 atau 34.38% kes aktif sedang dirawat di hospital dengan 90 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 29 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Sebanyak 486 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan 15,417 atau 64.77% sudah pulih,” katanya dalam sidang media hariannya hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lima kematian baru dilaporkan hari ini, melepasi angka 200 dengan jumlah 204 kematian.

Memperincikan kes kematian hari ini, Noor Hisham berkata kes ke-200 merupakan seorang wanita berusia 67 tahun yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Bagi kes ke-201, 202, 203 dan 204, mangsa masing-masing merupakan perempuan berusia 65 tahun, lelaki berusia 88 dan 78 tahun serta wanita berumur 60 tahun,” katanya.