- Iklan -
Berita

6 kluster baru Covid-19 dikesan

Kluster yang dikesan dilaporkan berlaku di Selangor, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Para kakitangan kesihatan melakukan persiapan memakai sut PPE sebelum melakukan ujian saringan Covid-19 di Flat Pelangi Damansara, Petaling Jaya hari ini.
Para kakitangan kesihatan melakukan persiapan memakai sut PPE sebelum melakukan ujian saringan Covid-19 di Flat Pelangi Damansara, Petaling Jaya hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan enam lagi kluster baharu, menjadikan kluster aktif Covid-19 di negara ini kini berjumlah 99.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kluster direkodkan di Selangor iaitu Kluster Jambu dan Kluster Bah Mutiara, manakala kluster lain adalah Kluster Tinusa direkodkan di Sabah dan Sarawak, Kluster Sauh (Sabah) , Kluster Sofi (Negeri Sembilan) serta Kluster Umboo (Melaka).

Beliau berkata 33 kes baru positif Covid-19 dikesan dalam Kluster Sofi di mana sejumlah 160 individu disaring sehingga kini.

‘’Kluster ini melibatkan daerah Seremban dan kes indeks bagi kluster ini (kes ke-22,198) yang dikenal pasti positif, hasil saringan bergejala pada Selasa lalu dan sudah dimasukkan ke Hospital Rembau.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti 33 lagi kes positif,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Bagi Kluster Tinusa, beliau berkata kluster itu dikenal pasti hasil saringan individu bergejala (kes ke-12,844) pada 6 Oktober di daerah Sandakan dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

Katanya saringan kontak rapat mengenal pasti 33 lagi kes positif dengan tiga merupakan kes baru.

“Kluster Sauh pula, kluster ini melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Papar di  Sabah serta daerah Miri di Sarawak di mana kes indeks bagi kluster ini (kes ke-16,540 dan kes ke-17,508) dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 13 Oktoer.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 149 individu daripada kluster ini disaring, dengan 17 kes dikesan positif dan daripada jumlah itu tiganya merupakan kes baru,” katanya.

Sementara itu, Kluster Jambu dan Kluster Bah Mutiara pula melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor.

Bagi Kluster Jambu, indeks bagi kluster ini (kes ke-19,367) dikenal pasti positif pada 16 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

‘’Sejumlah 139 individu disaring, 15 kes daripadanya dikesan positif dengan enam daripadanya merupakan kes baru.

“Kluster Bah Mutiara pula dikesan di Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-10,507) dikenal pasti positif serta mempunyai sejarah pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah,’’ katanya.

Noor Hisham berkata kluster keenam pula iaitu Kluster Umboo melibatkan daerah Alor Gajah, Melaka dan kes indeks (kes ke-21,322) telah dikesan positif hasil saringan di Depoh Tahanan Imigresen pada Ahad lalu.

Katanya, individu itu dimasukkan ke Hospital Melaka dan saringan kontak rapat mengenal pasti tiga lagi kes positif.

“Setakat 12 tengah hari  ini, sejumlah 373 individu disaring, empat kes dikesan positif Covid-19 yang mana satu merupakan kes baru,” katanya.