- Iklan -
Berita

Umno, PAS setuju Muafakat Nasional didaftar secara rasmi

Demi mengukuhkan perpaduan dan kerjasama sebagai persiapan berdepan PRU15.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Umno dan PAS ketika mengumumkan kerjasama dalam Muafakat Nasional pada September tahun lepas.
Pemimpin Umno dan PAS ketika mengumumkan kerjasama dalam Muafakat Nasional pada September tahun lepas.

Kepimpinan Umno dan PAS bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini kepimpinan MN bersepakat secara bersama untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini Umno pernah mencadangkan agar MN didaftarkan sebagai sebuah organisasi politik yang sah.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, perkara itu dikemukakan menerusi mesyuarat Biro Politik Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

Katanya, MN berjaya menyatukan ummah yang berbalah selama lebih 60 tahun.

“Genggaman erat penyokong, pendokong dan pemimpin Umno dan PAS jangan dilepaskan.

“Kita akan terus memperkukuh MN (Muafakat Nasional),” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau 2 hari lalu.

MN merupakan gagasan kerjasama antara Umno dan PAS sebelum disertai Bersatu pada Ogos lalu.