- Iklan -
Berita

Rakyat mula bosan dan meluat perebutan kuasa ahli politik, titah Sultan Selangor

Kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, rakyat sudah mula bosan serta meluat dengan tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan Negara.

Sultan Sharafuddin juga berdukacita kerana kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Keadaan rakyat turut terkesan kerana kedudukan ekonomi terjejas,” titah Sultan Sultan Sharafuddin melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Baginda, Muhamad Munir Bani.

Titah itu turut meminta, ahli-ahli politik lebih bertanggungjawab di dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan.

“Kesusahan dan penderitaan rakyat di dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif,” tambah baginda.

Titah Sultan Selangor itu hadir sebagai mengambil maklum dan menyokong kenyataan Yang di Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 16 Oktober lalu.

Sultan Sharafuddin meminta semua pihak terutama ahli-ahli politik di negara ini, untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing dan sentiasa fokus di dalam membantu rakyat serta negara dalam menangani masalah penyebaran wabak Covid-19 dan membina semula ekonomi Negara yang teruk terjejas.