- Iklan -
Berita

Mesyuarat MN ditangguh untuk redakan ‘suhu politik’ negara, kata Takiyuddin

Keputusan menangguhkan mesyuarat Muafakat Nasional semalam bertujuan meredakan “suhu politik” negara bagi memastikan fokus semua pihak kembali kepada usaha mendepani Covid-19, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Beliau juga meminta pihak pembangkang memberi kerjasama dengan menangguhkan percaturan politik masing-masing bagi memberi ruang kepada kerajaan semasa meneruskan usaha menangani penularan pandemik itu. “Mesyuarat (Muafakat Nasional) semalam […]

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
PAS president Abdul Hadi Awang (left) with PAS secretary-general Takiyuddin Hassan at the party's annual congress on Sept 13. Photo: Bernama
PAS president Abdul Hadi Awang (left) with PAS secretary-general Takiyuddin Hassan at the party's annual congress on Sept 13. Photo: Bernama

Keputusan menangguhkan mesyuarat Muafakat Nasional semalam bertujuan meredakan “suhu politik” negara bagi memastikan fokus semua pihak kembali kepada usaha mendepani Covid-19, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Beliau juga meminta pihak pembangkang memberi kerjasama dengan menangguhkan percaturan politik masing-masing bagi memberi ruang kepada kerajaan semasa meneruskan usaha menangani penularan pandemik itu.

“Mesyuarat (Muafakat Nasional) semalam semua tangguh sebab ikut prosedur operasi standard (SOP), mesyuarat PAS dan Umno pun tangguh dan saya difahamkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pun tangguh… kita nak redakan suhu politik, elok semua tumpu kepada Covid-19.

“Dalam masa sama politik kena stabil termasuk di pihak pembangkang, kerajaan hari ini perlu diberi peluang untuk meneruskan usaha baik dalam tangani Covid-19,” katanya.

Takiyuddin yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan persekutuan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit dekat Alor Setar, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata pandemik Covid-19 mengatasi isu-isu lain kerana jangkitan tersebut bukan sekadar berkaitan kesihatan tetapi melibatkan keseluruhan aspek kehidupan manusia.

“Tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menggugat atau mengganggu kerja kerajaan hari ini, sama ada di luar atau dalam Parlimen, jadi saya ingat isu politik perlu diredakan atau ditangguh dan tidak perlu timbulkan perkara yang tidak perlu,” katanya.

Mengulas mengenai usul menangguhkan sementara urusan kerajaan di Dewan Rakyat yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, beliau berkata usul tersebut bersifat umum, justeru tidak boleh diutamakan oleh sidang Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata pandemik Covid-19 mengatasi isu-isu lain kerana jangkitan tersebut bukan sekadar berkaitan kesihatan tetapi melibatkan keseluruhan aspek kehidupan manusia.

“Dalam undang-undang ada dua perkara iaitu general provision (peruntukan umum) dan specific provision (peruntukan khusus). Peruntukan umum tidak boleh mengatasi peruntukan khusus yang antaranya memperuntukkan bahawa urusan kerajaan perlu diutamakan,” katanya.

Maszlee dilaporkan berkata sudah mengemukakan usul agar persidangan Dewan Rakyat akan datang menangguhkan terlebih dahulu urusan kerajaan bagi memberi laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibincangkan dan diputuskan.

Menurut bekas menteri pendidikan itu menerusi status bebenang akaun Twitternya, usul tersebut penting bagi memastikan keabsahan sokongan terhadap Muhyiddin, sekali gus menentukan kestabilan politik negara.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadual berlangsung dari 2 November hingga 15 Disember ini.