- Iklan -
Berita

Pengurusan kes lucut harta Najib-Rosmah 25 November

Barangan yang didakwa hasil aktiviti haram dikaitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak bersama isteri Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak bersama isteri Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan akan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi mengenai status pemeriksaan barang kemas yang disita polis daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd dalam kes lucut hak harta melibatkan Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor pada bulan depan.

Barangan yang didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), disita mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini berkata pihak pendakwaan sepatutnya memaklumkan kepada mahkamah mengenai status pemeriksaan barang kemas itu hari ini yang ditetapkan untuk pengurusan kes.

“Namun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan, pengurusan kes itu ditetapkan pada 25 November ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin,” katanya dan turut memberitahu bahawa pengurusan kes hari ini dilapangkan.

Mac lepas, hakim itu membenarkan permohonan Najib dan Rosmah untuk memeriksa barang kemas yang dirampas oleh pihak berkuasa dan disimpan di Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antara lain menyita sejumlah 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Selepas prosiding pada 27 Julai lepas, pihak pendakwaan memberitahu media bahawa bekas perdana menteri itu dan isterinya memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences, pada Mei 2018.

Pada prosiding di hadapan Hakim Muhammad Jamil pada 27 Julai itu, pendakwaan memaklumkan bahawa Najib dan Rosmah memeriksa barangan berharga berkenaan pada 25 Julai lepas kecuali barang kemas kerana tukang emas warga Lubnan dari Global Royalty Trading SAL, masih tidak dibenarkan memasuki negara ini berikutan sempadan negara ditutup ekoran wabak Covid-19.

Global Royalty juga akan memeriksa barang kemas tersebut.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak aset yang dikatakan bernilai RM680 juta yang disita dari premis milik Obyu Holdings yang dimiliki Bustari Yusof.

Najib, Rosmah, Umno dan Global Royalty merupakan pihak ketiga dalam permohonan lucut hak itu.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu Holdings, kerajaan antara lain menyita sejumlah 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Pihak pendakwaan memfailkan permohonan lucut hak harta Obyu Holdings mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.